Selagi belanjawan defisit, selagi itu hutang kerajaan bertambah
Oleh AHMAD MURSI
Apabila kerajaan berbelanja lebih daripada pendapatan (defisit), hutang akan bertambah. Ini sudah berlaku selama 26 tahun.
Ibaratnya, gaji ayah RM5,000, tapi belanja keluarga RM5,500. Setiap bulan perlu tambah hutang RM500 atau tambah pendapatan. Nak bagi mudah faham je. Kewangan negara lebih rumit.
Kali terakhir belanjawan surplus adalah semasa Datuk Seri Anwar jadi Menteri Kewangan (1993-1997). Pendapatan lebih dari belanja.
Apa Madani buat? Turunkan defisit sedikit demi sedikit. 2022 Dari 5.8% dari KDNK (RM99.5bil), 2023 turun 5% (RM91.4bil), 2024 diunjurkan 4.3% (RM85.4bil), 2025 disasarkan 3% ke 3.5%. Selain usaha meningkatkan KDNK untuk tambah hasil.
Usaha mengecilkan defisit ini antara sebab pelabur makin yakin, pengukuhan ringgit, peningkatan di Bursa, serta kenaikan penarafan kredit antarabangsa (Fitch, JP Morgan,) dan analisis positif dari firma kewangan (Nomura) yang kita tengok kebelakangan ini.
Turun defisit mendadak bahaya pula untuk ekonomi, pekerjaan dan kesejahteraan rakyat. Hutang yang matang tetap perlu dibayar, perbelanjaan penting tak boleh dipotong secara drastik, hasil semasa tak cukup dan perlu ditambah.
Pembangkang kata, berhentilah tambah hutang RM93 bilion tu. Saya tanya, nak potong belanja mana RM93 bilion tu? Subsidi? Pembangunan? Defisit kita pun sekitar jumlah itu.
Jika pengurusan Madani cekap dan dapat melawan ketirisan dan rasuah, mungkin kita akan melihat belanjawan surplus semula selepas 30 tahun.
Bolehlah kurangkan hutang sedia ada yang dah capai RM1.173 trilion tu dan beban faedah. Hutang 1MDB pun kena bayar, sukuk matang tahun 2039.
Usaha Madani dalam pengurusan kewangan kerajaan yang berhemah akan menarik lebih banyak pelaburan dan mengukuhkan ekonomi.
Apabila penarafan kredit kita semakin baik, kos hutang kita untuk pembangunan lebih murah sebab dianggap kurang berisiko.
Generasi anak-anak dan cucu kita pula tidak perlu tanggung beban hutang yang diguna untuk kita bersenang lenang.
Yang lebih penting, lebihan pendapatan boleh labur lebih banyak untuk pendidikan, infra, kesihatan dan lain-lain.
BACA JUGA ‘Kalau dah kemaruk sangat nak masuk TV…’, Rafizi ‘bahasakan’ Wan Fayhsal