Pusat pemantauan aktif awasi Dark Web
Kementerian Digital telah menubuhkan pusat pemantauan aktif untuk mengawasi kegiatan mencurigakan di Dark Web.
“Pemantauan ini dilaksanakan oleh Bahagian Perkhidmatan dan Teknologi Pre-Emptif, Cybersecurity Malaysia.,” kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Analisis data dan pengumpulan maklumat berkenaan kebocoran data kementerian dan agensi kerajaan turut dilaksanakan.
Seterusnya garis panduan dan latihan kepada kakitangan kerajaan mengenai isu keselamatan siber serta Langkah pencegahan kebocoran data turut disediakan.
Kementerian Digital juga bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Perlindungan Data Peribadi untuk memastikan tindakan segera dapat diambil terhadap insiden kebocoran data.
Gobind mendedahkan langkah ini dalam jawapan bertulis kepada Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta Kementerian Digital menyatakan langkah mengekang insiden data sektor kerajaan menjadi bahan dagangan di dalam Dark Web.
Ketirisan data
Khoo turut bertanya mengenai implikasi ketirisan data sebanyak 32 peratus pada tahun lalu kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
“Ketirisan data tahun 2023 melibatkan 646 kes. Ini adalah yang tertinggi berbanding tahun 2022 sebanyak 50 kes dan hingga September 2024 terdapat 427 kes.
“Isu ketirisan data memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kedaulatan negara. Ketirisan data boleh menyebabkan pendedahan maklumat sensitif seperti butiran peribadi rakyat, maklumat rahsia kerajaan serta maklumat keselamatan yang boleh dimanipulasi oleh pelaku ancaman atau penggodam.
“Hal ini boleh membuka ruang kepada ancaman siber seperti risiko pengintipan, serangan penggodaman dan penyalahgunaan data yang akan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
“Pihak yang tidak bertanggungjawab juga boleh menggunakan data yang terdedah untuk melakukan jenayah siber seperti pencurian identiti dan serangan terhadap infrastruktur kritikal negara.
“Tambahan pula, ketirisan data berpotensi merugikan ekonominegara dan mencipta suasana ketidakstabilan.
“Oleh itu, langkah proaktif akan sentiasa diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan risiko kebocoran data dan memastikan keselamatan maklumat negara terjamin.
BACA JUGA: Gobind wants Microsoft to hear compensation claims from IT outage victims
Â