Sabah pula isytihar GISB menyeleweng

Ajaran, amalan, pegangan dan fahaman ahli jemaah GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) dan syarikat gabungannya bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jama’ah, menurut Majlis Fatwa Negeri Sabah.

Keputusan Pejabat Mufti Negeri Sabah itu dimuktamadkan pada Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah 2024 yang bersidang pada 1 dan 2 Oktober lalu.

“Penyelewengan ini meliputi aspek akidah, syariah, akhlak, kekeluargaan, kemanusiaan, muamalah ekonomi dan membawa kepada perpecahan umat serta boleh mengancam keselamatan negara,” mmetik kenyataan hari ini.

Majlis Fatwa Negeri Sabah menegaskan bahawa GISB menyeleweng daripada sudut akidah antaranya dengan meyakini Ashaari Mohammad atau Abuya ghaib dan akan muncul sebagai pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.

Menurut Pejabat Mufti Negeri Sabah, GISB meyakini amalan bertabarruk atau mengambil berkat dengan apa-apa yang digunakan oleh pemimpin GISB antaranya makan dan minum air basuhan tangan, rendaman gigi, janggut dan lain-lain adalah bertentangan dengan syarak.

Daripada sudut syariah, Pejabat Mufti Negeri Sabah menyenaraikan penyelewengan GISB termasuk mendakwa solat Jumaat tidak wajib kerana belum tertegak kerajaan Imam Mahdi selain menunaikan solat jamak qasar secara berterusan dengan alasan dalam perjuangan fisabilillah.

Penyelewengan dari sudut muamalah ekonomi pula, antaranya penyalahgunaan rumah amal untuk mendapatkan sumbangan daripada kerajaan serta orang ramai serta eksploitasi ahli pekerja seperti kerja tanpa gaji serta pembayaran wang tugasan harian.

Sehubungan itu, Pejabat Mufti Negeri Sabah menegaskan bahawa mana-mana ahli jemaah GISB dan penganut Islam yang mengamalkan fahaman dan ajaran GISB wajib bertaubat serta meninggalkan fahaman dan ajaran tersebut dengan segera.

Setakat ini lima negeri mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jama’ah iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Melaka dan Sabah.

Di Negeri Sembilan pula, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa pada 28 September lalu mendapati ajaran dan kepercayaan GISB Holdings sama seperti ajaran dan kepercayaan al-Arqam yang diwartakan sesat pada 1994.

BACA JUGA ‘Bukan hijau macam parti bulan’, ramai teka warna baju PMX bentang Belanjawan 2025

Â