Daftar jam 4pm, keluar 11am: Menteri akhirnya bersuara kepada semua pengusaha hotel

Pengusaha hotel digesa untuk melaraskan masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penginapan 23 ham sehari merupakan perkara biasa di luar negara.

Sebagai contoh, pelanggan mendaftar masuk pada jam 2 petang dan mendaftar keluar pada tengah hari keesokan harinya atau selewat-lewatnya pada jam 1 petang.

Ini kata beliau merupakan perkara biasa dan tidak menjejaskan kebersihan atau kualiti penginapan.

“Saya faham jika hotel mahu menjimatkan kos dan dapat meraih keuntungan dengan lebih banyak jika berbuat demikian.

“Namun, perkara ini bukan hanya melibatkan keuntungan pemain industri semata-mata, malah pelanggan juga mahu merasakan wang yang dibelanjakan itu berbaloi dengan perkhidmatan yang diterima.

“Jika gagal, pelanggan akan menerima pengalaman penginapan yang tidak memuaskan dan ini memberi gambaran jelas bahawa pihak hotel hanya mementingkan soal keuntungan dan bukannya kualiti perkhidmatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

sebelum ini isu pendaftaran lewat di hotel-hotel dalam negara menimbulkan pebincangan panas antara pengguna yang tidak berpuas hati dengan waktu penginapan mereka.

Mereka menganggap tidak adil apabila pengguna dibenarkan mendaftar masuk lewat pada jam 4 petang, dan perlu meninggalkan hotel pada jam 12 pm atau lebih parah, 11 am.

Jika dikira-kira, tidak sampai 20 jam waktu penginapan yang diberikan.

Tiong berkata, beliau memahami kebimbangan hotel untuk melanjutkan tempoh penginapan kerana kekurangan kakitangan, yang sekaligus mengakibatkan tempoh proses pembersihan dan penyediaan bilik menjadi lebih lama.

Beliau memberi jaminan untuk membantu pengusaha hotel berunding dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberi kemudahan pengambilan pekerja asing.

Pada masa ini, industri perhotelan tidak menikmati keutamaan apabila memohon untuk pengambilan pekerja asing, malah bilangan negara sumber yang dibenarkan untuk membekalkan pekerja asing amat terhad dan menjejaskan tenaga kerja.

“Saya akan berbincang dengan jabatan berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian berhubung perkara ini. Ini termasuk memberi kemudahan kepada pengusaha hotel untuk mengambil pekerja asing secara terus, tanpa melalui perantara,” katanya lagi.

Dalam pada itu menteri berkata, pihaknya telah mengarahkan Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di bawah kementeriannya untuk membantu mewujudkan kursus latihan pembersihan dan penyediaan bilik hotel yang turut akan menerima sijil setelah tamat latihan.

Ini sekaligus dapat membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kecekapan kerja di hotel selain meningkatkan imej profesional pelancongan Malaysia.

BACA JUGA Mat Salleh terkejut lihat budaya lepak di Malaysia, paling ‘win’ kalah negara barat

Â