Altimet amat bersedia bertanding PRN Selangor, tidak tolak jika tercalon

EKSKLUSIF | Penyanyi rap, penulis lagu dan komposer terkenal, Altimet sedia bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang akan datang.

Ketua Cabang PKR Ampang itu berkata, beliau memang sudah bersedia lebih daripada 100 peratus komitmen untuk menggalas tanggungjawab itu jika diberikan ruang dan peluang oleh Parti.

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad memberitahu, beliau banyak mempelajari segala ilmu berkaitan sejak menggalas jawatan sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya sejak lima bulan lalu.

“Saya sudah faham sedikit sebanyak pelbagai perkara dan ini merupakan satu tempoh pembelajaran yang singkat dan sangat berkesan.

“Saya ikuti learning curve (lengkung pembelajaran) yang sangat curam dan hari-hari belajar benda baru.

“Saya rasa kalau diberi peluang (jadi calon), InsyaAllah saya nak cuba,” katanya ketika ditemu ramah di pejabat Harapan Daily baru-baru ini.

Altimet akan melakukan yang terbaik jika diberi peluang menjadi calon PRN Selangor.

Pencipta dan penyanyi lagu penyamun ‘Hoi Ya Hoi’ itu berkata, sama ada dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab, itu bukanlah keputusannya tetapi beliau sendiri akan berusaha untuk melakukan yang terbaik.

Pada Oktober 2022, Altimet dilaporkan menolak untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana dikatakan masih belum bersedia untuk menggalas cabaran besar tersebut.

Ketika ditanya mengenai strategi untuk merampas dua DUN yang terletak di bawah Parlimen Ampang iaitu Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya, Altimet hanya menjawab ringkas “buat kerja” katanya.

“Penduduk Ampang ini mudah sahaja. Sekiranya awak buat kerja dan jalankan tugas dengan baik daripada peringkat Ketua Kampung, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), DUN dan Parlimen nescaya akan mendapat undi mereka.

“Contoh sebelum PRU15, YB Rodziah Ismail telah jalankan tugas dengan baik dan akhirnya telah menang bergaya dengan majoriti yang besar di Parlimen Ampang,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan data analisis keputusan PRU15 di Ampang, kedua-dua DUN itu dilihat akan dimenangi oleh PH dengan majoriti.

Terdahulu, tiga wakil rakyat di Ampang termasuk bekas Ahli Parlimennya, Datuk Zuraida Kamaruddin telah bertindak keluar parti.

Dua lagi wakil rakyat ialah ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga keluar parti dan ADUN Lembah Jaya, Haniza Talha yang dipecat keahlian daripada PKR.

BACA JUGA Prestasi dan keupayaan Pakatan Harapan di Selangor, kekal jadi kubu kuat