Naratif ‘langgar tatakeloka’ hanya rekaan untuk gantung Pengurus Besar NAFAS?
Seorang Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mendakwa keputusan menggantung pengurus besar mereka, Muhammad Faris Arriffin bukan keputusan sebulat suara.
Beliau mendakwa, ia dibuat secara undian selepas sebahagian ahli jemaah tidak bersetuju bahkan membantah keras keputusan itu kerana asas tindakan berdasarkan andaian semata-mata.
Zamir Ghazali dalam satu hantaran di Facebook turut menafikan alasan penggantungan Faris kononnya kerana terbabit kesalahan tatakelola yang melibatkan salah guna kewangan pertubuhan itu.
Zamir mendakwa ia adalah naratif dan persepsi yang direka-reka.
“Tidak betul juga alasan penggantungan atas asbab yang direka dengan membuat naratif persepsi kononnya GM melakukan pelanggaran tatakelola seperti makluman dalam kenyataan media oleh beberapa orang AJP NAFAS.
“GM membuat keputusan berlandaskan SOP dan tatakelola yang dibenarkan dalam ruang kuasa seorang GM,” katanya.
Beliau membuat penjelasan itu berikutan kenyataan dibuat beberapa AJP NAFAS boleh dibaca sebagai bertujuan menimbulkan persepsi negatif ketika mana proses siasatan dan dakwaan belum dibuat.
Hari ini, Pendaftar Pertubuhan Peladang menolak keputusan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS yang menggantung Pengurus Besarnya, Muhammad Faris Arriffin.
Di bawah perundangan Pertubuhan Peladang, sebarang aduan atau dakwaan ke atas Pengurus Besar NAFAS hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada Pendaftar sebelum sesuatu keputusan itu boleh dilaksanakan.
Peraturan itu termaktub dalam Seksyen 7(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109].
Namun lembaga itu dalam satu kenyataan berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan penggantungan tugas Pengurus Besar NAFAS daripada Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS.
BACA JUGA Dah 3 hari bersidang, Pemuda PH tanya mana belanjawan alternatif pembangkang?
Â