PM Anwar ucap tahniah, gesa AS tamatkan keganasan di Palestin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Donald J. Trump atas kemenangannya dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

Beliau dalam hantaran di Facebook berkata, dengan bab baharu ini ia memberi peluang baharu dan Malaysia bersedia untuk bergerak ke hadapan dengan optimis, kerjasama dan tujuan bersama.

“Amerika Syarikat kekal sebagai sumber pelaburan asing terbesar Malaysia dan pemain penting di rantau Asia-Pasifik.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia berharap Amerika akan menyemarakkan lagi penglibatannya dengan Asia Tenggara,” katanya di Facebook.

Dalam hantaran sama, Anwar turut menyampaikan gesaannya kepada AS untuk segera menamatkan perang serta keganasan di Palestin dan Ukraine.

“Kami juga menggesa AS menggunakan pengaruh besarnya untuk membantu menghentikan keganasan dan kehilangan nyawa yang dahsyat di Palestin dan Ukraine,” katanya.

Hari ini, Trump yang juga calon Republikan menewaskan pencabarnya dari parti Demokrat Kamala Harris.

Menurut Fox News, Trump memperoleh 277 undi badan perwakilan pemilih yang diperlukan untuk mengikat kemenangannya dalam pilihan raya Presiden AS 2024.