Kerajaan terbuka jika MP nak runding MoU peruntukan secara individu

Kerajaan sedia menerima jika ada mana-mana Ahli Parlimen dari blok pembangkang mahu membincangkan “secara individu” mengenai memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang.

Namun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, rundingan secara berkumpulan tidak lagi dibenarkan memandangkan Perikatan Nasional (PN) telah membuat keputusan menolaknya pada 15 September lalu.

“Kalau ada dalam kalangan individu Ahli Parlimen yang nak bincang di sebelah sana, saya terbuka tetapi (kalau) secara kelompok seperti yang sudah dinyatakan, mereka menolaknya.

“Ini adalah keputusan pihak parti itu sendiri, saya tidak boleh buat apa-apa,” katanya semasa Sesi Penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Fadillah menyifatkan penolakan tawaran MoU secara sebulat suara dari blok pembangkang adalah pilihan mereka sendiri.

Katanya setakat ini hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sahaja yang telah menulis surat kepadanya untuk meneruskan rundingan.

“Saya sedang meneliti segala cadangan balas dan ia akan dibawa berbincang kepada Whip kerajaan.

“Saya akan panggil Muar nanti untuk maklum balas berhubung apa dikemukakannya,” katanya.

Sebelum ini, pembangkang sebulat suara menolak MoU yang dihulurkan kerajaan atas beberapa sebab antaranya mendakwa ia boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Bagaimanapun sehari selepas penolakan tersebut, Fadillah tampil menedahkan dua draf sebenar dokumen bagi membuktikan dakwaan pembangkang tidak berasas sama sekali.

BACA JUGA Selepas pejabat, kediaman pengasas FashionValet pula diperiksa SPRM