Ini faktor mengapa BNM masih kekalkan OPR 3 peratus selepas lebih setahun
Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) telah membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
OPR dikekalkan sehingga kini selepas kenaikan pertama diumumkan pada Mei 2023.
Untuk rekod pada Januari sehingga Mac 2023, OPR berada pada kadar 2.75 peratus.
Kadar itu setelah empat kenaikan berturut-turut pada 2022 di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu yang bermula Mei, Julai, September dan November 2022.
Namun apa faktor sebenar yang menyebabkan OPR dikekalkan sekali lagi selepas lebih setahun?
Menurut kenyataan BNM, kegiatan ekonomi kini mencatatkan penunjuk yang terus kukuh, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan aktiviti eksport yang lebih tinggi.
Melangkah ke hadapan, ia berkata eksport dijangka terus disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global, eksport barangan bukan E&E yang terus kukuh dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.
BNM berkata, pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
Selain itu, aktiviti pelaburan yang mantap akan terus berkembang disebabkan oleh projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional.
“Pelaburan ini yang disokong oleh modal import yang lebih tinggi akan meningkatkan eksport dan mengembangkan keupayaan pengeluaran ekonomi.
“Langkah-langkah di dalam Belanjawan 2025 turut akan memberikan sokongan tambahan kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.
BNM walau bagaimanapun berkata, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
Katanya, pertumbuhan mungkin menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan projek pelaburan yang lebih pantas.
Sementara itu, bank pusat berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal sederhana dengan purata 1.8 peratus sejak awal tahun sehingga kini.
Inflasi juga dijangka kekal terkawal pada tahun depan berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.
Mengenai ringgit, BNM berkata, mata wang tempatan itu akan terus didorong terutamanya oleh faktor luaran.
Katanya, keputusan pilihanraya Amerika Syarikat (AS) mungkin meningkatkan ketidaktentuan dalam jangka masa terdekat.
BACA JUGA Kerajaan terbuka jika MP nak runding MoU peruntukan secara individu
Â