Empat hari PM Anwar di Mesir
Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah jam 12.30 tengah malam tadi waktu Malaysia (jam 6.30 petang waktu tempatan) bagi lawatan rasmi empat hari ke Mesir.
Lawatan ini merupakan kali kedua Perdana Menteri ke negara itu dengan lawatan pertama pada Oktober tahun lalu.
Pertemuan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi kali ini adalah bersejarah kerana bertepatan dengan sambutan 65 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Mesir sejak bermula pada 10 November 1959.
“Kunjungan ini akan membuka peluang dan lembaran kepada kami dalam membincangkan kemajuan hubungan Malaysia dan Mesir selain menerokai bentuk kerjasama baharu.
“Usaha berterusan juga akan terus dipergiat bagi memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara,” kata Perdana Menteri menerusi kenyataan di Facebook beliau.
Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelesterian Alam (NRES), Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Ketibaan Anwar disambut Perdana Menteri Mesir, Dr Mustafa Madbouly; Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian dan pegawai Malaysia di Kaherah.
Perdana Menteri antara lain dijadual mempengerusikan sesi libat urus bersama kapten industri utama tempatan dan menyampaikan ceramah umum kepada pelajar serta kakitangan Universiti Al-Azhar.
Esok pula, PMX akan menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam di Riyadh, Arab Saudi bagi membincangkan situasi terkini di Palestin dan Lubnan, serta perkembangan serantau.
Beliau kemudian akan kembali semula ke Kaherah pada malam hari sama bagi meneruskan program rasmi di Mesir.
BACA JUGA Menteri naik kapal terbang macam orang biasa