Premier Sarawak ini makin lantang, sedia diheret ke mahkamah
Tan Sri Abang Johari Abang Openg lantang menegaskan bahawa dia konsisten untuk terus bertegas dalam isu Sarawak sebagai pengagregat gas tunggal memandangkan itu adalah hak Sarawak.
Premier Sarawak itu bahkan bersedia berdepan di mahkamah jika ada mana-mana pihak yang tidak menghormati hak Sarawak sebagai pengagregat gas tunggal.
Sehubungan itu, tambahnya, dia tegas dalam perbincangan antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mengenai perkara itu.
“Saya tahu apa yang saya lakukan, kerana itu (pengagregat gas tunggal di Sarawak) adalah hak kita.
“Oleh itu, jika ada sesiapa yang tidak menghormatinya, saya berani berdepan dengan mereka di mahkamah kerana ini hak kita,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Datuk Patinggi Ali, di Gedong, Simunjan, hari ini.
Anak Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang pertama, Tun Abang Haji Openg Abang Shapie itu turut membidas pihak tertentu bahawa negeri tersebut akan mengaut RM100 bilion setahun apabila menjadi pengagregat tunggal gas.
“Itu hanyalah dakwaan yang salah yang tidak lebih adalah hasutan, kerana perolehan kita tidak sampai ke angka itu.
“Tetapi kita memang akan mendapat manfaat jika Sarawak menjadi pengagregat gas tunggal,” katanya.
Pada 1 Julai lalu, kerajaan Sarawak memutuskan PETROS akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak.
Walau bagaimanapun, PETRONAS meminta penangguhan pelaksanaan pengambilalihan itu kerana pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas.
Susulan itu, kerajaan Sarawak memberi tempoh lanjutan tiga bulan kepada PETRONAS untuk memuktamadkan susunan penyeliaan pengagihan gas di Sarawak dengan PETROS dan tempoh itu berakhir Oktober lalu.
PETRONAS kemudian dalam kenyataan pada 31 Oktober lalu memberitahu proses perbincangan masih diteruskan berhubung cadangan pelaksanaan PETROS sebagai pengagregat gas tunggal mengikut Ordinan Pengedaran Gas (DGO).
BACA JUGA Berbaki tiga tahun penggal, ini nasihat Gobind kepada ahli DAP
Â