Bekas YDP Yadim tak gentar dikecam lepas tegur isu mimpi jumpa Rasulullah
Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata, beliau menerima banyak kecaman selepas membuat teguran terbuka kepada individu yang menguar-uarkan mengenai mimpi bertemu Rasulullah SAW.
Beliau berkata, mereka yang mengecamnya tidak mengemukakan huraian atau analisa untuk membandingkan yang benar dan salah, sebaliknya menggunakan bahasa yang kurang baik kepadanya.
Pun begitu kata Mohd Nakhaie, beliau tetap akan menggunakan kebebasan untuk menyetujui atau mengkritik apa juga perkembangan yang berlaku di sekelilingnya.
“Kecaman bukan huraian atau analisa yang memaparkan yang benar dan yang salah. Kecaman dilakukan melalui apa saja bahasa yang terkeluar daripada mulut yang memberi gambaran seseorang itu bertamadun atau tidak.
“Pembaca mesti dapat membezakan antara kecaman bertamadun dan tidak bertamadun.
“Saya tidak gentar menghadapi kecaman itu. Saya tetap akan menggunakan kebebasan saya untuk menyetujui atau mengkritik apa juga perkembangan yang berlaku di sekeliling saya mengikut pertimbangan dan pilihan isu yang saya sendiri pilih,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini beliau mengulas mengenai ajaran sesat yang kebanyakannya bermula dengan menggunakan mimpi bertemu Nabi Muhammad untuk menarik pengikut jahil.
Menurutnya, sesuatu ajaran baru yang diambil dari mimpi bertemu Nabi dan menerima arahan baginda dari mimpi tersebut adalah sebahagian dari tanda ajaran sesat.
Katanya, jika dahulu orang menggunakan hadis palsu sebagai hujah untuk sokongan politik, kini mimpi bertemu Nabi pula digunakan.
BACA JUGA Sampainya hati Tun M ambil kesempatan fitnah Anwar
Â