Tak suka Trump? Ini pilihan untuk rakyat Amerika Syarikat
Syarikat kapal persiaran mewah Villa Vie Residences mengumumkan pakej Skip Forward yang akan membawa penumpang mengelilingi dunia dengan menaiki Villa Vie Odyssey selama empat tahun – tempoh Presiden Amerika terbaru Donald Trump berada di Rumah Putih bermula dari 20 Jan 2025.
Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak AS$159,999 (RM756,396) seorang untuk bilik berdua manakala bilik single berharga AS$255,999 (RM1.21 juta).
Para penumpang akan belayar merentasi tujuh benua dan berlabuh di lebih 425 pelabuhan di 140 negara.
Villa Vie Odyssey akan belayar selama sebulan di Caribbean sebelum meneruskan perjalanan selama empat bulan merentasi Amerika Selatan dan menyeberangi Antartika serta menelusuri ke Sungai Amazon selama lapan hari.
pemandangan laut yang menakjubkan berserta perkhidmatan seperti spa dan kemudahan kesihatan boleh diperoleh di kabin penumpang, selain perkhidmatan percuma WiFi, pemeriksaan kesihatan, perkemasan bilik dan dobi.
“Kempen tersebut telah ditawarkan sebelum keputusan Pilihan Raya Presiden AS diumumkan. Kami yakin produk ini akan memberi manfaat kepada mereka yang memang mahu keluar dari negara jika ‘XYZ’ menang pemilihan itu.
“Kami mungkin mempunyai pandangan politik yang berbeza, namun komuniti kami sentiasa bersatu untuk meneroka dunia dengan cara sebenar yang melangkaui politik,” kata ketua pegawai eksekutif Mikael Petterson.
Villa Vie Odyssey yang boleh memuatkan sehingga 600 penumpang dalam satu masa sedang belayar mengelilingi dunia dan akan menyeberangi tujuh benua, 13 keajaiban dunia dan lebih 100 pulau tropika.
Kapal tersebut kini merentasi pantai timur Amerika Selatan dengan perhentian seterusnya ialah Barbados.