Dr Dzulkefly pastikan kebajikan jururawat terjaga walau bekerja 45 jam seminggu

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yakin kebajikan jururawat akan terus terjaga menerusi waktu bekerja syif yang lebih fleksibel, walaupun mereka perlu bekerja 45 jam seminggu berbanding 42 jam sebelum ini.

Arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) memerlukan jururawat di wad hospital bekerja tambahan tiga jam seminggu mulai 1 Disember.

Beliau berkata, tambahan 3 jam bekerja dalam seminggu adalah munasabah, memandangkan mereka turut diberikan waktu rehat yang cukup dan hari cuti (off day).

“Sebenarnya (jururawat ditetapkan) bekerja empat hingga enam hari seminggu di mana tempoh bekerja sehari mestilah tidak kurang daripada lapan jam dan tidak lebih daripada 12 jam.

“Dalam pada itu, kita beri satu jam dikatakan tempoh rehat dalam waktu bekerja, sementara satu hingga tiga hari cuti seminggu.

“Saya kira sangat munasabah dan berwajaran,” katanya kepada media.

Dzulkefly menambah, Kementerian Kesihatan (KKM) prihatin terhadap kebajikan jururawat dan bersedia menambah baik arahan waktu bekerja terbabit dari semasa ke semasa.

“Kita akan perbaiki dan tambah baik arahan ini kerana kepentingan, kemaslahatan, keseimbangan kerja-kehidupan adalah sangat penting terutama kepada kakitangan kesihatan.

“Kalau ada apa (isu berbangkit), kita sedia pertimbangkan untuk menjaga kebajikan jururawat kami di KKM, kita ambil perhatian semua, insya-Allah,” katanya lagi.

BACA JUGA Mursyidul Am Pas kata Pas lebih layak ketuai PN berbanding Bersatu

Â