Sidang halal antarabangsa Selangor sasar padanan niaga RM50 juta
Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) 2023 membuka tirainya hari dengan sasaran seramai 8,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hingga Ahad.
Perasmian persidangan itu disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Program edisi kedua bertemakan ‘Selangor, Gerbang Halal Antarabangsa’ turut dihadiri Exco Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Setiusaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.
Dalam majlis berkenaan, Amirudin menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) peluang niaga antara Bank Islam dengan anak syarikat MBI Halal International Selangor (HIS).
Beliau turut melawat reruai yang menghimpun kira-kira 200 pempamer dari dalam dan luar negara antaranya Bangladesh, Australia, United Kingdom, Thailand, Vietnam dan Kanada.
SELHAC kali ini menghimpunkan pemain industri dari dalam dan luar negara yang akan mengetengahkan enam komponen sepanjang persidangan merangkumi forum perniagaan, kewangan Islam, pameran, padanan perniagaan, rantaian bekalan halal dan pemasaran digital.
Pameran dengan sasaran padanan perniagaan RM50 juta turut meliputi kluster makanan dan minuman, farmasi dan penjagaan kesihatan, busan sopan, bahan mentah dan ramuan halal, kecantikan serta pelancongan dan hospitaliti.
Edisi kali ini diadakan dengan skala lebih besar, ruang lebih luas dan selesa sesuai dalam suasana endemik dan hampir 200 pemain industri berdaftar untuk menyertai pameran berkenaan.
Pempamer terlibat seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Bank Islam, Maybank Islamic Berhad, Majlis Agama Islam Selangor, Farm Fresh Malaysia dan Yayasan Hijrah Selangor.
SELHAC pertama kali dianjurkan Mac tahun lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan penyertaan lebih 200 pempamer dan merekodkan transaksi sebanyak RM37.73 juta.
BACA JUGA: SELHAC 2023: Usaha Selangor luaskan industri halal ke peringkat antarabangsa
Â