Menteri umum RM1,000 untuk 20 pemilik kenderaan tenggelam banjir Putrajaya
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa bersetuju untuk memberikan bantuan sebanyak RM1,000 kepada 20 pemilik kenderaan yang ditenggelami banjir kilat di Presint 11 Putrajaya.
Beliau mengumumkan perkara itu selepas turun meninjau sendiri lokasi banjir kilat yang pertama kali berlaku di kawasan tersebut.
“Saya zahirkan rasa simpati kepada mereka yang terkesan akibat insiden ini.
“Sehubungan itu, saya ingin maklumkan bantuan kewangan berjumlah RM 1,000 kepada 20 pemilik kenderaan yang ditenggelami air.
“Kemudian, pihak Perbadanan Putrajaya juga akan membuat parkir interim yang akan memuatkan kira-kira 200 kenderaan sebagai tindakan jangka pendek.
“Ini saya minta Perbadanan Putrajaya untuk selesaikan dalam tempoh 2 minggu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Zaliha berkata, pihaknya telah pun mengenal pasti punca banjir berlaku iaitu kerana hujan yang lebat di bahagian hulu dan air telah naik dari Sungai Anak Gajah, menyebabkan aliran air tersekat dan membanjiri kawasan yang lebih rendah.
Untuk itu,beliau telah mengarahkan Perbadanan Putrajaya untuk menyediakan sistem amaran dengan penggunaan siren dan amaran kepada penduduk di kawasan terjejas untuk alihkan kenderaan dengan segera.
“Ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan Internet of Things (IoT) di mana sensor akan dipasang di petak-petak penyelenggaraan saliran di seluruh Putrajaya untuk mengesan tahap ketinggian air.
“Aliran air di kawasan perumahan ini menggunakan culvert system. Walaupun besar keluasannya, tetapi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, hujan yang lebat tiba-tiba menyebabkan ia tidak dapat menampung kapasiti air yang terlalu banyak,” ujarnya lagi.
Untuk jangka masa panjang, Zaliha berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat kembali sistem saliran ini.
Jika didapati memang tidak dapat menampung, pihaknya akan mengmbil tindakan menambahbaik bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.
“Saya juga melihat ada kemungkinan untuk kita fikir lebih jauh ke hadapan dengan meneroka sistem yang lebih maju untuk pembangunan-pembangunan baru, seperti konsep sponge city, on-site stormwater detention (OSD) atau kolam takungan bawah tanah.
“Walaubagaimanapun, ini memerlukan kajian yang teliti sebelum dilaksanakan sebagai dasar baharu pembangunan di Putrajaya,” katanya lagi.
BACA JUGA Dua sungai di Kelantan di tahap waspada, trend menaik tengah malam ini
Â