Kejadian buli semakin membimbangkan
OLEH AZLI YUSOF
Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat (BPPM) Parti AMANAH Negara bimbang terhadap kejadian buli di kalangan penuntut yang semakin berleluasa.
Terkini, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah mengesahkan penahanan ke atas tiga remaja berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun penuntut IPT di Seri Iskandar, Perak kerana didakwa memukul rakan secara beramai-ramai.
Sebelum itu pada Oktober 2024. kejadian buli turut berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melibatkan seorang mangsa berumur 19 tahun yang menyebabkan kecederaan dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.
Lebih menyayat hati, penuntut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, telah meninggal dunia selepas mengalami penderaan fizikal teruk oleh sekumpulan rakannya pada tahun 2017.
Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Azman Adnan, sebanyak 6,208 kes buli membabitkan pelajar sekolah direkodkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) setakat Oktober 2024 menerusi sistem Sahsiah Diri Murid (SDM).
Walaupun jumlah ini menurun berbanding 6,528 kes pada tahun sebelumnya, angka ini tetap menunjukkan bilangan kes yang membimbangkan.
Justeru, BPPM melihat tren yang semakin membimbangkan sehingga mencedera dan meragut nyawa mangsa buli perlu diberi perhatian tegas oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi.
BPPM yakin bahawa kejadian buli merupakan kesan ketara yang berlaku tehadap seseorang bermula sejak di usia kanak-kanak dan dibangku sekolah lagi. Kecenderungan pemangsa buli untuk melakukan buli adalah disebabkan oleh faktor masa lalu dan masa kini.
Dalam konteks hari ini, kejadian buli bukan sahaja melibatkan aspek fizikal malah turut melibatkan gejala buli siber. Tidak mustahil budaya buli siber boleh berlarutan sehingga meleret menjadi jenayah buli fizikal.
BPPM melihat peranan media sosial yang semakin dominan telah mempengaruhi gaya pemikiran dan keputusan yang diambil oleh generasi muda. Permainan secara dalam talian berbentuk aksi ganas dikhuatiri menjadi ikutan untuk anak muda bertindak ganas dalam aktiviti buli.
Sehubungan dengan itu, timbul persoalan adakah manhaj pendidikan yang tersedia hari ini khususnya di peringkat arus perdana tidak berjaya membina jati diri dan perwatakan insan generasi muda yang mampu mengekang budaya buli ini?
Kerajaan wajar menilai isu ini secara holistik, menyemak apakah faktor utama yang mendorong pemangsa buli bertindak sedemikian, seterusnya mengambil langkah intevensi dan pencegahan secara menyeluruh agar budaya buli dapat dibendung.
Melalui konsep “Karamah Insaniah” Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi digesa agar memberi keutamaan dan tumpuan segera memperkasa kurikulum dan module pendidikan yang lengkap agar benar-benar mampu mengangkat kemuliaan insan, memelihara jiwa dan menghormati maruah sesama manusia.
Azli Yusof ialah Ahli Parlimen Shah Alam dan pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH
Â