Perjelas maksud ‘ayam betina’, ‘biawak’ atau MP Pas dipalit gelaran biadap terhadap Agong

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari digesa menjelaskan maksud kiasan ‘jantan berkokok nyaring,’ ‘ayam betina’ dan ‘biawak’ yang dikongsi di media sosialnya atau akan dipalit dengan gelaran biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, kiasan dibuat Ahmad Fadhli itu selepas kenyataan dikeluarkan Istana Negara berhubung kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkaitan pengampunan diraja bagi kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sheikh Umar Bagharib Ali

“Saya ingin bertanya pada Ahmad Fadhli, apakah maksud hantaran beliau itu. Tolong jelaskan siapakah yang beliau maksudkan ‘jantan berkokok nyaring’ dan siapa pula ‘ayam betina’ serta ‘biawak’.

“Apa yang sedang berlaku ialah UMNO membatalkan hasrat himpunan solidariti Najib selepas titah Yang di-Pertuan Agong dikeluarkan, jadi saya ingin tanya Ahmad Fadhli, adakah ‘biawak’ yang beliau sebutkan itu merujuk kepada baginda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas mengundang kecaman orang ramai apabila memuat naik ungkapan perbandingan membabitkan ayam dan biawak.

“Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban,” kias Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu tanpa memberi sebarang penjelasan lanjut.

Hantaran tersebut dikongsi selepas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengeluarkan kenyataan pembatalan Himpunan Solidariti bagi menyokong Najib.

BACA JUGA Kes hina raja berderet, masih parti pejuang Melayu?