Dalang Jana Wibawa khianati Bumiputera sengsara
Penubuhan Jana Wibawa adalah langkah yang amat baik dan tepat pada masanya bagi membantu kontraktor Bumiputera yang berdepan kesukaran semasa pendemik Covid-19 melumpuhkan dan memufliskan banyak syarikat Bumiputera.
Sebagai seorang arkitek yang berurusan dengan kontraktor Bumiputera, saya mengetahui ramai yang menaruh harapan amat tinggi Jana Wibawa akan menjadi penyelamat kesengsaraan berpanjangan mereka.
Amat malang apabila setelah mengetahui tujuan murni asal Jana Wibawa tidak kesampaian, malah telah diselewengkan oleh pihak yang telah menjanjikan talian hayat syarikat yang nazak dan terpaksa gulung tikar.
Ada yang terpaksa menjual perniagaan hasil usaha anak beranak, ada yang menghadapi krisis keluarga terpaksa menggadai serta menjual terus barang kemas dan harta warisan yang membawa krisis keluarga yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Ada anak-anak yang terlepas peluang pengajian tinggi untuk membina kerjaya bagi membantu keluarga pada hari tua mereka kerana tiada lagi wang simpanan.
Yang lebih malang lagi ramai yang menghadapi kemurungan sehingga ada yang mengambil nyawa sendiri.
Jana Wibawa merupakan antara harapan untuk menjadi penyelamat mereka ini.
Jana Wibawa merupakan satu lagi entiti yang berhasrat murni ingin membantu Bumiputera, seperti MARA dahulunya, yang malangnya disalahgunakan dengan bertopengkan perjuangan membela bangsa.
Pihak berkuasa bangsa sendiri yang menubuh dan menjaga Jana Wibawa mengkhianati bumiputera demi kepentingan rakus diri, tanpa mempedulikan berapa ramai Melayu muflis, tutup perniagaan dan dibuang kerja.
Harapkan pagar, pagar makan padi, harapkan bangsa, bangsa sendiri mengkhianati!
Selain dari Perdana Menteri pada masa itu, saudara mara beliau, orang kanan Perikatan Nasional dan usahawan bukan Bumi dari Pagoh turut berdepan tuduhan mengaut keuntungan secara komisen rasuah haram bernilai puluhan juta banyaknya.
Ada juga laporan menyatakan seorang pihak atasan sebuah Persatuan berkait dengan Kontraktor Bumiputera dan ada juga individu yang berkaitan dengan CIDB – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan – juga terlibat dengan unsur rasuah untuk mendapat bahagian melalui konsep Jana Wibawa.
Mereka ini yang mempunyai kedudukan sepatutnya memainkan peranan untuk membantu kontraktor susah dan daif, tetapi yang sebaliknya berlaku.
Pagar sudah terlalu biasa memakan padi sehingga menjadi suatu kelaziman.
Lebih malang semasa Jana Wibawa di rancang dan dimulai, Parlimen ditutup dan darurat diistiharkan supaya tiada perbahasan di Parlimen untuk semak imbang boleh dilakukan.
Sekali lagi di sebalik topeng ‘membantu Bumiputera’, tetapi Bumiputera juga yang dikhianati oleh pimpinan sendiri.
Sebelum dari ini pun banyak kontraktor Bumiputera yang benar benar berwibawa dan berprestasi cemerlang di ketepikan kerana tidak merasuah pihak pimpinan atasan dengan komisyen serta rasuah lumayan.
Sampai bila nama Bumiputera, Melayu dan Islam akan terus diperalatkan untuk kepentingan individu atau kumpulan tertentu ?
Bangsa Melayu perlu sedar dan insaf dari terus diperalatkan dan di tipu pemimpin sendiri bertopengkan Melayu dan Islam di bawah helah pembelaan bangsa dan agama.
Muslihat Jana Wibawa membuat kontraktor Bumiputera terus merana, kecewa kerana pemimpin yang rasuah durjana!
Penulis Raja Kamarul Bahrin Shah ialah pengerusi Pakatan Harapan Terengganu
Â