‘Level’ walak walaun di Terengganu tegar dan menebal berbanding di Kelantan

Tahap ketaatan dan walak dalam kalangan penyokong Pas di Terengganu amat tegar dan menebal sehingga sukar ditembus berbanding di Kelantan.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, ia mungkin disebabkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang adalah Ahli Parlimen di Terengganu.

Menurut Khalid, apa sahaja yang diperkatakan presiden, itulah yang akan dilakukan ahli tanpa banyak bicara.

“Di Kelantan suasananya lain sikit daripada Terengganu. Di Terengganu, dia punya level walaun tu sangat-sangat tegar dan menebal.

“Mungkin oleh kerana presiden parti ada di Terengganu, maka mereka tidak mempertikai. Apa sahaja diperkata presiden, itulah yang dilakukan,” kata Khalid yang juga bekas Pengerusi AMANAH Kelantan.

Beliau mengambil contoh perhimpunan untuk Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman awal bulan lalu yang mana katanya, ahli-ahli Pas berhimpun hanya kerana patuh arahan.

“Bila ahli Pas ditanya (kenapa sertai perhimpunan), dia jawab kerana presiden dah arahkan. Nokhtah. Tak perlu dibincang. Sama ada setuju atau tidak setuju, itu bukan isunya. Isunya presiden dah arah, kita turun.

“Begitulah level walaun yang tegar dan walak, membabi buta sedangkan Islam tak mengajar begitu.

“Bagi orang Pas, ini semuanya adalah wahyu. Pandangan ulamak parti itu adalah betul, tak boleh dipertikai,” katanya.

BACA JUGA ‘Pengkhianat agama’, kata ustaz kontroversi ini selepas terpaksa tutup pusat tahfiz