‘Bukan Kerana Nama’ berkumandang di Dewan Rakyat, siapa MP dari Sabah ini maksudkan

Serangkap lagu Datuk Ramli Sarip bertajuk ‘Bukan Kerana Nama’ berkumandang di Dewan Rakyat petang tadi dinyanyikan Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang).

Ahli Parlimen blok kerajaan dari Sabah berkenaan mendendangkan lagu yang ditulis oleh Datuk M. Nasir itu sebagai penghargaan kepada semua pengamal media yang disifatkan sebagai berdedikasi, sentiasa cakna dan mendengar denyut nadi rakyat.

Menjadi pembahas terakhir Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 hari ini, Matbali turut menegaskan supaya jasa dan pengorbanan golongan wartawan terus dimartabatkan dan dihargai.

“Mereka ini insan biasa yang menulis bukan kerana nama tetapi menyampaikan denyut nadi rakyat atas sifat kasih sesama insan.

“Seperti diungkapkan Ramli Sarip dalam lagunya: ‘dengarlah hai teman, dengarkan bersama, aku menulis bukan kerana nama, kerna sifat kasih pada sesama insan, dan menyatakan kasih sayangku.

“Kita sama semuanya sama, apa yang ada hanyalah kehidupan,” katanya menyanyikan lagu terkenal yang diterbitkan pada 1986 itu.

Dalam perbahasannya, Matbali turut menyokong RUU Majlis Media Malaysia yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan ekosistem media negara.

Dalam masa sama, beliau meminta kerajaan memberikan lebih perhatian kepada pengamal media di Sabah dan Sarawak yang dikatakan agak terpinggir berbanding di Semenanjung.

“RUU ini adalah usaha mempertingkatkan kualiti media, dan menjadikannya badan yang dapat mengawasi media dengan lebih berkesan.

“Pastinya ia membawa beberapa manfaat. Pertama, memperkukuh kebebasan akhbar dan media; kedua, menggalakkan etika profesional media; ketiga, meningkatkan kualiti maklumat dan berita; serta keempat, meningkatkan perlindungan untuk wartawan,” jelas Matbali lagi.

BACA JUGA Ini sebabnya Speaker kecewa dengan MP Pendang, buat malu orang Kedah