Mangsa penipuan pelaburan mesin kopi rugi lebih RM3.6 Juta

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkenaan SkimPelaburan Mesin Kopi di Megan Avenue Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. 3hb Mac 2025 (Isnin)

Seramai 110 individu tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan dalam satu program pelaburan sewaan mesin kopi yang dianjurkan oleh sebuah syarikat tempatan. Kesemua mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM3,669,808.

Mangsa-mangsa meluahkan rasa curiga terhadap kesahihan dan kewujudan program tersebut apabila mendapati pulangan yang dijanjikan kepada mereka tidak seragam, meskipun mereka menyertai pakej pelaburan yang sama. Selain itu, syarikat berkenaan juga gagal membayar keuntungan seperti yang dijanjikan, menambah lagi kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya unsur penipuan dalam skim ini.

Menurut mangsa, mereka tertarik untuk menyertai program pelaburan tersebut selepas dijanjikan pulangan lumayan antara 20% hingga 51%. Syarikat itu turut berjanji akan menguruskan segala aspek pemasaran, namun perkara itu tidak berlaku seperti yang dipersetujui.

Setiauhasa Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata pihaknya menerima aduan daripada mangsa-mangsa dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta telus bagi memastikan keadilan kepada mereka yang terjejas.

“Kami berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera dalam menyiasat kes ini kerana ramai individu yang telah mengalami kerugian besar. Ini bukan sekadar soal wang ringgit, tetapi juga soal kepercayaan masyarakat terhadap program pelaburan yang ditawarkan di pasaran,” katanya.

Mangsa kini berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat terbabit dan memberikan keadilan kepada mereka yang telah terpedaya.
