Pertemuan ceria Adly dan MB Kelantan, bincang bantu veteran ATM
Ketika suasana politik di luar kian memanas, pertemuan antara Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Menteri Besar Kelantan semalam kelihatan begitu ceria dan santai.
Ia bagaikan pertemuan antara dua rakan karib setelah lama tidak berjumpa.
Kedua-duanya masih mampu bergurau-senda sambil menghirup teh panas dan kerepek yang dihidangkan oleh Datuk Ahmad Yakob ketika Adly singgah ke kediamannya.
Adly yang juga Naib Presiden AMANAH berkata beliau berterima kasih kerana Menteri Besar Kelantan sudi menerima kunjungannya selepas menghadiri Program Peduli Veteran dan Hari Bertemu Veteren.
“Kami berbincang secara santai berkenaan bantuan rumah kepada veteran ATM. Insya-Allah perbincangan yang lebih serius untuk membantu veteran melibatkan bantuan kerajaan negeri dan Kementerian Pertahanan akan diadakan.
“Semoga pertemuan ini dapat membantu wira-wira kita yang banyak berjasa kepada negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu Adly bersama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) Syarina binti Kassim serta rombongan kementerian telah menziarahi dan menyantuni veteran ATM sempena Program Peduli Veteran (PPV) ke Kelantan.
“PPV kali ini sangat bertuah apabila Panglima 8 Briged, Brig Jen Aizudin Hassan turut bersama saya dan JHEV menziarahi rumah ke rumah menyantuni veteran yang uzur dan balu yang baru sahaja kehilangan suami,” ujarnya.
Adly berkata program tersebut sempat melawat lapan buah rumah veteran di sekitar Pengkalan Chepa, Ketereh dan Kota Bharu dengan menyampaikan sumbangan bakul makanan serta saguhati kepada mereka.
“Pada sebelah petang, Majlis Hari Bertemu Veteran ATM telah diadakan bertempat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Bharu.
“Veteran menyuarakan pandangan mereka yang saya kira ada beberapa perkara baharu yang boleh dipertimbangkan untuk menambah baik model yang sedia ada,” katanya.
BACA JUGA: Pelapis muda perlu fahami perjuangan Palestin
Â