Nak jadi aktivis politik silakan, jangan jadi ‘macai’, ‘walaun’ – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan golongan belia dan anak muda agar tidak menjadi ‘macai’ atau ‘walaun’ iaitu menurut segala arahan pemimpin secara membuta tuli dalam perjalanan mereka menjadi seorang aktivis politik.

“Anda nak jadi aktivis? Silakan tapi jangan jadi macai. Jangan jadi walaun,” katanya sambil disambut sorakan gemuruh anak muda.

Beliau berkata demikian dalam program Temu Anwar bersama anak muda sempena Forum dan Eksposisi Pemerkasaan Anak Muda 2023 (Youth Empowerment Fair 2023) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

PM Anwar berdialog dengan anak muda hari ini.

Perdana Menteri anak muda perlu berfikiran terbuka termasuklah menegur dirinya jika beliau melakukan kesalahan.

Tegas beliau kerajaan akan mempertahankan hak golongan muda untuk menyatakan pandangan dan bersuara.

“Saya nak pastikan Kerajaan Perpaduan ini dengan negara Madani tak akan bertindak terhadap sesiapa. We will protect your right.

“(Tapi) Kalau anda permainkan isu kaum dan agama, minta orang gaduh, saya akan ambil tindakan keras,” tegasnya.

Ini kerana Anwar berkata ada pihak terdesak yang sudah kehilangan kuasa sengaja mahu menyemarakkan api perkauman.

Program Temu Anwar diadakan secara khusus bagi memberi peluang kepada sesiapa sahaja terutama anak muda bertanyakan soalan secara terus.

Program ini telah dilaksanakan sejak tahun 2009 dan buat julung kali ia diadakan setelah Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

BACA JUGA: Teladani kejatuhan kerajaan PN, gelojoh merebut habuan kekuasaan – Anwar

Â