Isu kalendar persekolahan dibangkit Dewan Rakyat hari ini

Kementerian Pendidikan menjadi perhatian Dewan Rakyat hari ini apabila beberapa soalan mengenai persekolahan dijangka akan dibangkitkan dalam sesi soal jawab.

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, Yeo Bee Yin (DAP-Puchong) dijadual bertanya sama ada kerajaan berhasrat untuk mengubah kembali tarikh pembukaan sekolah daripada Mac kepada Januari.

Manndzri Nasib (BN-Tenggara) turut akan membangkitkan isu sama dengan menyoal sama ada Kementerian Pendidikan mempunyai perancangan bagi menyelaras semula kalendar persekolahan pelajar sekolah rendah dan sekolah seperti sebelum pandemik Covid-19.

Dalam sesi soal jawab lisan juga, Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) bertanyakan sama ada kerajaan boleh mempermudahkan urusan perolehan dan pembelian alat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) oleh pihak sekolah seperti mesin cetak, komputer dan komputer riba.

Turut tersenarai, soalan Hassan Saad (PN-Baling) berkenaan usaha Kementerian Pendidikan mengatasi peningkatan harga makanan di kantin sekolah akibat harga bahan mentah yang tinggi di pasaran.

Hal berkaitan kantin sekolah juga ditanyakan Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan sejauh mana pemantauan harga dan kualiti nutrisi makanan yang dijual di kantin sekolah dilaksanakan.

Selesai sesi tersebut, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 pada peringkat jawatankuasa.

Tiga kementerian terlibat iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; serta Kementerian Kesihatan.

BACA JUGA 320,000 pelajar B40 bakal dapat manfaat Menu Siswa Rahmah