Nasihat terakhir kepada Mahathir Mohamad

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022, saya telah menasihati dua tokoh terkenal politik Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, untuk tidak bertanding dalam pilihan raya umum ini, sebaliknya untuk mengambil peranan sebagai penasihat.

Nasihat terakhir untuk Dr Mahathir

Kedua-dua Mahathir dan Razaleigh bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan kalah, malah Mahathir – bekas Perdana Menteri dua kali yang berkhidmat selama hampir 25 tahun – telah kehilangan depositnya.

Saya tidak jangka nasihat saya ini akan didengari, tetapi demi manfaat untuk Mahathir dan juga Malaysia, saya perlu berikannya juga.

Saya sudah lama tidak berjumpa dengan Mahathir sejak konspirasi politik Langkah Sheraton pada Februari 2020, dan sejak persaraan saya dari politik barisan hadapan pada bulan Mac 2022, jadi saya akan berikan nasihat ini melalui satu surat terbuka.

Nama Mahathir muncul dalam arena politik negara apabila dia menulis buku “Dilemma Melayu” pada tahun 1970 dan dia kemudiannya digelar sebagai sebagai ultra Melayu. Bukunya, “Dilemma Melayu” ini kemudiannya segera diharamkan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, dan pengharaman ini disokong penuh oleh Tun Razak dan Tun Ismail.

Mahathir menyertai Kabinet sebagai Menteri Pendidikan pada tahun 1974 dan menjadi Perdana Menteri keempat Malaysia dari tahun 1980 sehingga 2003.

Pada tahun 1991, Mahathir melancarkan Wawasan 2020, mengumumkan yang “Menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang bersatu padu, dengan masyarakat Malaysia yang berkeyakinan, diterapkan dengan nilai moral dan etika yang kuat, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertoleransi, saling peduli, dengan ekonomi yang adil dan saksama, progresif dan makmur, memiliki ekonomi yang berdaya saing, dinamik, berketahanan, dan mampan”, dengan pengumuman sembilan cabaran strategik untuk dicapai menjelang 2020.

Dia meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada bulan Oktober 2003, tetapi pada tahun 2018, memimpin gabungan Pakatan Harapan untuk menamatkan hegemoni politik UMNO dan menjadi Perdana Menteri ketujuh, selama 22 bulan sebelum ditumbangkan melalui konspirasi politik Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020.

Pada tahun 2021, Mahathir mengumumkan kegagalan Wawasan 2020.

Dalam buku pasca Langkah Sheratonnya, Mahathir mengkritik Muhyiddin atas deklarasi “Melayu Pertama”-nya.

Tetapi pada tahun 2023, Mahathir mengumumkan yang orang Melayu sedang kehilangan kuasa politik mereka dan orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam dua pilihan raya umum lagi.

Sekiranya orang Melayu kini terancam, maka perkara ini merupakan kegagalan peribadi terbesar Mahathir kerana dia sendiri telah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali selama hampir 25 tahun. Apakah yang telah dilakukannnya untuk menyelamatkan orang Melayu daripada menjadi kaum yang terancam di Malaysia?

Namun, tidak benar untuk mengatakan yang orang Melayu kini telah kehilangan kuasa politik atau telah menjadi kaum yang terancam, seperti mana ketika dia mengumumkan Wawasan 2020, dia bukannya sedang mengumumkan permulaan kaum Melayu sebagai kaum terancam di Malaysia.

Hujah yang mengatakan orang Melayu kini terancam adalah salah dan tidak berasas, seperti mana tuduhan liar dan tidak masuk akal Presiden PAS, Hadi Awang yang mengatakan kononnya DAP ini anti Melayu, anti Islam, anti Raja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia, atau tuduhannya yang mengatakan kononnya DAP berada di sebalik usaha kerajaan untuk meratifikasikan ICERD (Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Perkauman) sedangkan para pemimpin DAP di dalam dan di luar kerajaan tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini.

Adakah Mahathir telah bergerak ke hadapan dari “Dilemma Melayu” kepada “Wawasan 2020”?

Atau adakah dia telah mundur ke belakang dari “Wawasan 2020” ke satu kedudukan yang lebih buruk dari “Dilemma Melayu”? Tidak ada mana-mana parti politik yang meminta untuk adanya seorang Perdana Menteri bukan Melayu dalam beberapa pilihan raya umum yang akan datang.

Saya sendiri direkodkan sebagai berkata yang saya tidak jangka akan ada seorang Perdana Menteri bukan Melayu dalam jangka hayat saya atau dalam kehidupan anak saya.

Tetapi, tokoh kemerdekaan negara, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn (empat presiden terawal UMNO), Tun Tan Cheng Lock, dan Tun V. T. Sambanthan, semuanya membayangkan penubuhan sebuah negara yang terdiri dari kalangan orang Melayu dan bukan Melayu, kerana itulah adanya Perkara 43 dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada orang Melayu – di mana orang bukan Melayu tidak disekat dari memegang jawatan Perdana Menteri oleh Perlembagaan.

Mengapakah Mahathir memungkiri janjinya dalam “Wawasan 2020” dan kini tidak bersetuju dengan empat presiden terawal UMNO yang seorang bukan Melayu tidak dihalang untuk menjadi seorang Perdana Menteri oleh Perlembagaan, walaupun realiti politik menunjukkan yang perkara ini tidak kelihatan mungkin terjadi dalam abad ini?

Malah, Amerika Syarikat juga mengambil masa 200 tahun untuk menyaksikan seorang lelaki berkulit hitam (Barack Obama) menjadi Presiden, dan tidak ada sesiapa yang dapat meneka bilakah seorang lagi orang berkulit hitam akan menjadi Presiden AS sekali lagi.

Mengapakah Mahathir menentang prinsip asas pembinaan negara Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang telah dipersetujui bersama oleh empat presiden terawal UMNO bersama dengan tokoh-tokoh kemerdekaan negara yang lain?

Persoalan yang paling penting di Malaysia hari ini adalah sama ada rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, boleh mengembalikan semula negara kita kepada prinsip asas yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara untuk menyatukan sebuah masyarakat majmuk yang telah terpolarisasi dan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan sistem politik, ekonomi, pendidikan, dan sosial yang bertaraf dunia dan bukannya terjunam ke arah menjadi sebuah Malaysia yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara.

Adakah Mahathir bersetuju?

Adakah Mahathir akan kembali kepada Wawasan 2020 untuk menetapkan semula hala tuju negara sebagai sebuah Malaysia majmuk atau adakah dia akan kembali ke “Dilemma Melayu” yang telah membawa kepada skandal 1MDB dan Jana Wibawa?

Selepas enam dekad usaha membina negara bangsa dan setengah abad dengan Rukun Negara, kita sepatutnya sedang bercakap mengenai “Dilemma Malaysia” dan bukannya “Dilemma Melayu” atau Dilemma Bukan Melayu”.

Kita telah tercicir dari berada dalam kalangan negara terbaik dunia kepada sebuah negara yang biasa-biasa sahaja. Kita telah menjadi sebuah negara yang menunjukkan kemerosotan.

Adakah kita telah ditakdirkan untuk menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057?

Adakah Mahathir akan menghabiskan baki hidupnya untuk memperjuangkan Wawasan 2020, di mana rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Iban, atau Kadazan, dapat memaksimakan potensi mereka, atau dengan “Dilemma Melayu”?

Inilah pilihan yang berada di hadapan Mahathir hari ini.

Negara ini dan rakyatnya, sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban, sedang terancam dengan rasuah yang berleluasa dan hasutan perkauman dan keagamaan yang melampau-lampau.

Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim, telah memberikan amaran keras pada minggu lepas.

Kini masanya untuk tindakan tegas!

 

BACA JUGA PRN: DAP berhati-hati, bukan pesimistik