Abang Mat so smart, kata pemain industri makanan utama

“Abang Mat so smart,” tulis pemilik akaun Facebook Mazlina Kamarudin MK ketika mengulas wawancara dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dengan Astro Awani.

Pengusaha ayam terkenal di utara Semenanjung itu mengulas video yang viral berkaitan temubual itu.

Mazlina, Pengarah Urusan Ayam Bismi yang berpusat di Alor Setar membuat komen itu terhadap pandangan Mohamad Sabu yang lebih dikenali Abang Mat ketika di wawancara secara langsung oleh stesen televisyen swasta itu yang kini ditularkan.

Petikan komen Mazlina terhadap wawancara Mohamad Sabu dengan Astro Awani.

Dalam wawancara kelmarin, Mohamad menggariskan langkah-langkah yang beliau buat untuk menguruskan kementerian beliau.

Sebelum ini ramai yang meragui kemampuan Mohamad kerana mereka hanya mengenal Mohamad di pentas-pentas ceramah politik sahaja.

Melalui wawancara itu, Mohamad menggariskan strategi beliau untuk berhadapan tahun 2013 di mana dunia dijangka bakal berhadapan dengan krisis makanan.

Antaranya Mohamad mencadangkan agar pemain industri pertanian yang besar termasuk syarikat multinasional terlibat dalam industri makanan.

Ini kerana syarikat-syarikat besar ini mempunyai tanah yang luas dan modal yang besar yang selama ini banyak terlibat dengan penanaman kelapa sawit dan getah sahaja.

Jika mereka terlibat dengan industri pengeluaran makanan, peluang untuk negara mencapai kejayaan akan lebih baik, kata beliau.

Mohamad juga berkata, punca sebenar telur dan ayam mahal adalah akibat dari harga makanan ayam berkenaan yang diimport dengan harga yang mahal ekoran krisis dunia dan juga peperangan antara Rusia dan Ukraine.

“Kita kena usahakan sumber makanan ayam kita tanam sendiri termasuk jagung bijirin.

“Jika syarikat-syarikat besar ini terlibat, peluang untuk berjaya lebih besar dan kita tidak perlu bergantung kepada sumber import lagi,” kata Mohamad.

Mazlina dan suaminya, Jefri Ahmad adalah pemilik syarikat Ayam Bismi yang dianggap pengeluar ayam daging terbesar di kalangan bumiputra.

Selain mempunyai rangkaian pembekalan ayam segar sendiri di seluruh negara, Ayam Bismi juga membekalkan ayam segar kepada syarikat penjual ayam goreng utama di negara ini.

Mereka juga menjual produk hiliran daging ayam termasuk bebola ayam dan lain-lain.

Pengiktirafan Mazlina kepada Mohamad satu petunjuk besar bahawa usaha kementerian yang beliau ketuai akan mencapai kejayaan dan memberikan hasil yang baik dalam memastikan makanan negara ini terjamin.