Abdul Rahman Ayob, pegawai kapal selam pertama dilantik Panglima TLDM

Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob dilantik sebagai Panglima TLDM ke-18 berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Abdul Rahman, 59,  disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang pada majlis serah terima tugas di Wisma Pertahanan di sini.

Beliau menggantikan Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany yang bersara wajib.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz dan barisan pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pelantikan Abdul Rahman sebagai Panglima Tentera Laut menjadikan beliau sebagai pegawai submariner pertama yang memegang tampuk pemerintahan TLDM.

Abdul Rahman yang dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada 2 Dis 1964 telah menyertai TLDM pada 2 Julai 1982 serta ditauliahkan pada 13 Jun 1984.

Antara jawatan yang pernah disandang sepanjang perkhidmatan beliau ialah Komander Angkatan Kapal Selam TLDM, Timbalan Ketua Misi Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao Filipina, Panglima Wilayah Laut 2, Panglima Armada Timur dan Timbalan Panglima Tentera Laut pada 2019.

Kerjaya beliau sebagai seorang submariner bermula pada 1993 apabila memperoleh lencana kepakaran kapal selam setelah menamatkan latihan kapal selam di HMAS Platypus, Australia.

Abdul Rahman seterusnya menjalani Latihan Pengenalan Kapal Selam di Sweden pada 1995 dan di Perancis pada 1999 serta berjaya menamatkan Kursus Asas Kapal Selam Kelas Agosta pada 2006 di Perancis.

Sementara itu, TLDM dalam satu kenyataan hari ini merakamkan penghargaan kepada Mohd Reza sepanjang 42 tahun perkhidmatan beliau terutama ketika memegang jawatan Panglima TLDM sejak 30 Nov 2018.

“Beliau telah meneruskan usaha memodenkan armada TLDM walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19 dan cekal mencari penyelesaian agar tahap kesiapsiagaan TLDM terus berada di tahap yang optimum,” menurut kenyataan itu.

Laksamana Mohd Reza Mohd Sany (tengah) menyaksikan Laksamana Madya Datuk Sabri Zali (kanan) bertukar dokumen setelah dilantik sebagai Timbalan TLDM yang baharu menggantikan Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob (kiri) dalam satu majlis serah terima tugas di KD Sri Gombak, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur pada 27 Januari 2023. Foto TLDM

Dalam perkembangan sama, Markas TLDM dalam kenyataan memaklumkan Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dilantik Timbalan Panglima TLDM yang baharu menggantikan Abdul Rahman dalam satu majlis serah terima tugas di KD Sri Gombak, Jalan Padang Tembak, di sini hari ini.

Majlis disaksikan Mohd Reza bersama Ahli Jawatankuasa Laksamana TLDM dan warga ‘navy people’ sekitar Lembah Klang. – BERNAMA

BACA JUGA: PM Anwar solat Jumaat di Masjid Khalid Al-Walid