Adik bekas Mursyidul Am PAS, Nik Razi meninggal dunia

Adik kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Razi meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka, Kelantan pada pukul 8 pagi tadi.

Allahyarham yang juga Bendahari Dewan Ulama PAS Kelantan sebelum ini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian dan telah dibawa pulang ke rumahnya bulan lalu.

Jenazah Allahyarham Nik Razi dijadual disolatkan selepas solat Asar di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka petang ini.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam kenyataan berkata kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarganya Almarhum Nik Razi.

“Berita duka kembalinya menemui pencipta tokoh ulama Kelantan Tuan Guru Nik Razi Nik Mat pada pagi ini 26 Ramadan 1444H setelah diuji sakit terlantar hampir empat bulan,” katanya.

Jelasnya Almarhum Nik Razi yang juga merupakan adinda kepada Almarhum Nik Abdul Aziz telah memberi sumbangan yang begitu besar khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan kepada masyarakat.

“Semoga Allah SWT membalas segala jasa yang dicurahkan, mengampun dan merahmatinya di sisi para solehin,” ujar beliau.

Allahyarham Nik Razi amat diingati dalam kalangan orang ramai apabila suaranya ketika berceramah seakan sama dengan suara Allahyarham Nik Abdul Aziz selain mempunyai perwatakan lemah lembut seperti abangnya.

BACA JUGA: Pertemuan ceria Adly dan MB Kelantan, bincang bantu veteran ATM