ADUN Bukit Kepayang edar sayur percuma, bantu ringan beban rakyat

Demi membantu meringankan beban masyarakat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon tampil dengan inisiatif mengedarkan sayur percuma.

Beliau berkata, program tersebut telah diadakan di Pusat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Flat Cempaka, Seremban 2, baru-baru ini.

“Sayur-sayur itu telah diedarkan kepada semua penduduk di kawasan Garden Avenue.

“Saya berharap agar program ini dapat membantu rakyat, terutama penduduk DUN Bukit Kepayang dalam meringankan beban perbelanjaan,” dipetik Negeri Kita.

Sementara itu, sebanyak tiga buah masjid dan 18 buah surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang turut menerima sumbangan kewangan berjumlah RM21,000 daripada Nicole.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan memberitahu, sumbangan RM1,000 bagi setiap masjid dan surau itu bertujuan membantu pengurusan masjid dan surau untuk melakukan aktiviti sepanjang bulan Ramadhan.

“Sumbangan tersebut diberikan dalam satu majlis berbuka puasa bersama AJK masjid dan surau di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Rata-rata mereka mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.

“Dalam masa sama, saya turut memberikan sumbangan Bakul Ramadan kepada lima orang daripada setiap masjid dan surau yang memerlukan bantuan.

“Semoga sumbangan yang diberikan dapat membantu meringankan beban mereka,” ujar pemimpin DAP itu lagi.