Agenda Melayu-Islam untuk menangi kerusi majoriti Melayu Pulau Pinang

EKSKLUSIF Parti komponen Pakatan Harapan perlu mempunyai agenda Melayu – Islam untuk memenangi kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang yang menjadi fokus tumpuan di dalam pilihan raya negeri akan datang.

Naib pengerusi I, Amanah Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria yang juga seorang pakar runding pediatrik di sebuah hospital terkemuka di Pulau Pinang berkata agenda tersebut harus difokuskan kepada sektor tertentu.

“Contohnya, kita ambil sektor pendidikan agama. Kerajaan negeri boleh saja menaiktaraf masjid di Penaga yang terkesan kerana bencana alam.

“Contohnya, kerajaan boleh sahaja meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk tujuan ini dan benarkan Amanah atau PKR bertanding di situ. DAP tak perlu masuk bertanding di situ,” kata beliau dalam satu temubual eksklusif di Pulau Pinang beberapa hari yang lalu.

Ini, kata beliau, perlu dilakukan kerana Amanah sendiri tiada sumber dana dan hanya mempunyai jentera akar umbi manakala dua orang ahli dewan undangan negerinya tidak memegang jawatan exco. Faiz Fadzil ialah Adun Permatang Pasir manakala Azrul Mahathir Aziz ialah Adun Bayan Lepas.

Beliau yakin bahawa sekiranya DAP dapat meningkatkan peruntukan untuk tujuan begini undi Melayu – Islam di negeri Pulau Pinang akan beralih dengan kuat menyokong Pakatan Harapan.

“Kalau DAP dapat fokuskan dalam pemberian peruntukan yang lebih, ianya akan banyak membantu. Pilihan raya negeri ini akan bergantung kepada sejauh mana kita melaksanakan dasar dan kerja,” kata beliau.

Antara masjid yang ada di Pulau Pinang

Beliau turut mengulas peri pentingnya kerja berpasukan melibatkan parti komponen Pakatan Harapan dimulakan dari peringkat pusat hingga ke peringkat akar umbi.

“Ada tempias dari peringkat nasional untuk masyarakat Melayu tetapi perkara tersebut perlu dibuat secara fokus. Perdana menteri dan kabinet juga perlu fokus menyelesaikan masalah rakyat.

“Masalah dengan PH ialah kesatuan itu kelihatan di peringkat pusat sahaja, bukannya di peringkat negeri. Bila Amanah dan PKR bertanding, mereka fokus kawasan mereka sahaja. DAP takkan kelihatan di kawasan Melayu.”

Beliau mencadangkan agar PH turut meniru budaya kempen Umno yang berkempen dengan memakai baju berlogo BN di semua kawasan untuk menunjukkan keseragaman.

Zaidi turut mengutarakan hujah bahawa sudah tiba masanya Amanah menggunakan ahlinya sebagai pempengaruh di media sosial untuk memenangi pilihan raya negeri.

“Mereka ini perlu mempunyai tahap kreativiti yang tinggi dan perlu diberi gaji sebagai kakitangan sepenuh masa,” katanya yang turut mengakui bahawa kekangan dana adalah masalah terbesar untuk parti Amanah di Pulau Pinang.

BACA JUGA: Kerjasama DAP-Umno mengorbankan kerusi PKR, Amanah?