Agihan kerusi PRN akan diperinci PH-BN 19 Mac ini

Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada 19 Mac ini akan memperincikan agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRN tidak lama lagi.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beberapa faktor akan diambil kira sebagai kayu ukur pembahagian kerusi itu nanti.

Menurut Ketua Setiausaha PH berkenaan, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Dato’ Onn.

“Akan ada laporan daripada tiga jawatankuasa iaitu yang pertama Jawatankuasa Pemantauan Dasar dan Polisi.

“Kedua, Jawatankuasa Rundingan Kerusi dan yang ketiga Jawatankuasa Mobilisasi.

“Saya difahamkan ketiga-ketiga itu akan diperincikan pada laporan UG ‘council’ pada malam tersebut,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Keadilan di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai intipati mesyuarat berkenaan yang dimaklumkan oleh Ketua Sekretariat Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam masa sama, Saifuddin berkata, isu pengagihan kerusi di peringkat PH menggunakan formula penyandang kerusi parti yang menang.

“Kedua, kita akan melihat dari segi prestasi berdasarkan pilihan raya yang lepas, mengikut ‘winnability’ (kebarangkalian boleh menang).

“Ketiga, ruang untuk kita teruskan rundingan dengan Umno dan BN jadi parameter itu sedikit berbeza dan yang penting kerusi penyandang itu jelas, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya.

Tambahnya, sebagai contoh, Kedah yang memiliki 36 kerusi DUN, PH hanya mampu bertahan di empat DUN berdasarkan keputusan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jika lihat keputusan baru-baru ini (PRU15), undian di peringkat Parlimen tapi (analisis) undian di peringkat DUN berkenaan kita ada, iaitu PH cuma bertahan di empat DUN iaitu Sidam, Bakar Arang, Kota Darul Aman dan Derga,” katanya.

Oleh itu, ujarnya, semua faktor terbabit akan diambil kira terutama dengan kerjasama dengan BN sejauh mana ia mempunyai nilai tambah kepada PH.

“Jadi, pakar strategi PH sedang meneliti semua perkara itu dan strategi perundingan kerusi sangat bergantung kepada kedudukan penyandang PRU14.

“Turut kita ambil kira prestasi undian di peringkat DUN mengikut keputusan PRU15,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri daripada enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu sepakat untuk membubarkan DUN masing-masing bagi menganjurkan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Jun ini.

BACA JUGA Kongres Nasional Khas PKR tumpu persiapan PRN