Agong berbuka puasa dengan PM Anwar, Jemaah Menteri

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof hadir sama di Istana Negara, malam ini dalam majlis yang juga disertai perwakilan asing itu.

Turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta timbalan-timbalan menteri.

Antara kenamaan lain yang juga hadir ialah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul serta Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Majlis turut dihadiri perwakilan asing antaranya dari Yaman, Turkiye, Arab Saudi, Syria, Jordan, Mesir, Senegal, Palestin, Bangladesh, Libya, India dan Brunei.

Seri Paduka berdua juga berkenan menunaikan solat fardu Maghrib berjemaah bersama tetamu yang diimamkan Penolong Pegawai Agama Istana Negara, Mohd Zuhairee Mohd Yatim, di Surau Istana Negara.

BACA JUGA Kembalinya keyakinan institusi diraja kepada kerajaan

Â