Ahli MPPK dilantik dari kalangan berpengalaman, berpengetahuan dan punyai kepakaran

Ahli di dalam Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dilantik dari kalangan mereka yang berpengalaman, berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

“Anggota MPPK yang dilantik terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran dalam perkara yang berhubung dengan pendidikan.

“Pelantikan keanggotaan MPPK adalah merentasi sempadan agama, kaum, jantina, disiplin ilmu dan lokasi geografi selain tidak berdasarkan kepada perjuangan agenda persendirian atau kumpulan tertentu. Bilangan keanggotaan MPPK adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pendidikan (Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan) 2012,” kata Fadhlina.

Fadhlina berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada Teresa Kok (Seputeh-PH) yang menyoal bagaimana ahli MPPK memberi nasihat khusus kepada menteri sekiranya tiada wakil dari badan pendidikan Cina, Tamil dan Sarawak.

Beliau turut menyoal samada Kementerian Pendidikan akan menambahkan anggota.

Penambahan anggota MPPK pula bergantung kepada keperluan dari semasa ke semasa dan MPPK boleh mengundang mana-mana orang perseorangan atau wakil mana-mana organisasi untuk menghadiri mesyuarat MPPK sekiranya perlu, jelas Fadhlina.

Persoalan ini dibangkitkan kerana isu pelantikan salah seorang wakil MPPK dibuat untuk mewakili pendidikan dalam keadaan wakil tersebut tidak mewakili pendidikan Tamil baru-baru ini.

BACA JUGA: Usaha berterusan meningkatkan pelajar aliran STEM