Aidilfitri: Manfaatkan sepenuhnya silaturahim, persaudaraan – Amirudin
Umat Islam perlu meneruskan sifat kesederhanaan seperti menyantuni golongan fakir, anak yatim dan insan kurang berkemampuan, kata Menteri Besar Selangor.
Datuk Seri Amirudin Shari berkata sifat itu perlu ditampilkan melalui tindakan, akal budi dan fikiran agar golongan muda turut mewarisi budaya serta akhlak yang serupa dalam melahirkan generasi bermaruah dan berwawasan.
“Manfaatkanlah sepenuhnya silaturahim dan ukhuwah (persaudaraan) yang telah kita bina selama ini seperti yang dianjurkan agama,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri.
Sambil mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri, Amirudin melahirkan rasa syukur atas kejayaan prestasi pungutan hasil kerajaan negeri sepanjang pentadbiran ini serta dalam tiga bulan pertama tahun ini.
“Saya telah mengumumkan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor 2023 yang bukan sahaja memberikan satu bulan gaji kepada penjawat awam Negeri Selangor, tetapi juga penjawat awam Persekutuan seperti guru, polis dan lain-lain yang berkhidmat di Selangor turut akan menerima manfaat insentif ini iaitu sebanyak RM200,” ujarnya.
Terdahulu beliau berkata Ramadan yang berlalu membawa seribu satu makna kepada umat Islam yang taat.
“Masing-masing mencari Lailatul Qadr dan melaksanakan pelbagai kebajikan dalam mengejar mardhatillah (keredaan Allah),” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Gombak.
Amirudin turut mengucapkan syukur kerana melihat kemakmuran dan kesederhanaan malam-malam terakhir Ramadan di masjid-masjid seluruh negeri Selangor.
“Sekali lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anda semua. Saya memohon ampun dan maaf setulus ikhlas atas sebarang kekurangan yang ada dan berazam untuk terus memberi khidmat yang terbaik buat semua,” katanya.
BACA JUGA: Selangor terbit drama ‘Selalu Ada’, temui penonton Syawal ini