Air Selangor sedia RM35 bilion, ganti paip usang dan tingkat bekalan air bersih

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memperuntuk sebanyak RM35 bilion dalam pelan perniagaannya pada tempoh 30 tahun di bawah perbelanjaan modal (CAPEX) sekali gus memberi khidmat terbaik menerusi 34 loji rawatan air kepada 9.1 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah berkata pelan itu antaranya pembangunan sumber air baharu seperti pelaksanaan skim bekalan air Rasau dan Langat 2 Fasa 2, penggantian paip, penukaran meter paip dan penambahbaikan rumah pam.

“Antara fokus kami (Air Selangor) pada 2023 ialah kepada loji air ini yang melibatkan perbelanjaan sebesar RM12 bilion.

“Di samping itu, Air Selangor memperuntukkan perbelanjaan lain seperti penggantian paip RM150 juta setiap tahun, RM45 juta untuk penukaran meter-meter air dan RM15 juta untuk pemulihan rumah pam dan kolam air,” katanya dalam program bual bicara Agenda Awani bertajuk, Kelestarian Air: Apa ‘Plan’ Air Selangor semalam.

ABAS ABDULLAH

Mengenai cabaran dan pencapaian Air Selangor pada tahun lalu, Abas berkata Air Selangor telah melakukan beberapa penambahbaikan termasuk melakukan pelaburan besar terhadap sistem bekalan air.

Beliau berkata sehingga kini Air Selangor telah menggantikan paip lama atau usang sepanjang 624 kilometer (km) dengan 552km daripada paip itu sudah diaktifkan melibatkan 262 lokasi kritikal.

“Air Selangor memiliki rangkaian paip yang agak panjang iaitu 30,000km dengan 6,000km terdiri daripada paip usang yang telah dipasang sejak tahun 70-an dan tidak digunakan sejak 90-an lagi.

“Daripada statistik, 55 peratus paip pecah adalah akibat daripada paip yang usang dan bagi mengatasi masalah ini, Air Selangor telah melaksanakan satu program penggantian paip usang lebih kurang 150km pada setiap tahun,” katanya.

Menurut Abas penggantian paip usang yang sudah berusia 30 tahun telah berjaya menurunkan kadar paip pecah kepada satu angka yang baik iaitu 5.35 kes paip pecah berbanding penanda aras antarabangsa iaitu sekitar 13 kes bagi setiap 100km.

Katanya pada 2022, Air Selangor telah memperuntukkan RM2.97 bilion untuk aktiviti penambahbaikan sistem bekalan air termasuk penggantian paip, pembinaan loji baharu, membaik pulih kolam air atau rumah pam dan menyelenggara aset serta peralatan.

Pada masa sama beliau turut mementingkan kualiti perkhidmatan Air Selangor sebagai sebuah syarikat penyedia perkhidmatan air terbesar di Malaysia.

“Air Selangor telah menjalankan kajian pada setiap tahun bagi menjalankan indeks kepuasan pelanggan dan pada tahun lepas (2022), ia meningkat kepada positif 14 (+14) daripada positif lima (+5) pada tahun 2021.

“Berdasarkan skor, kajian ini merangkumi perkhidmatan pelanggan, kualiti air, pengurusan gangguan bekalan air dan juga hebahan komunikasi,” ujarnya.

Tambahnya daripada sudut kualiti air, Air Selangor sentiasa berada pada tahap yang baik dengan pematuhan kualiti air adalah pada tahap 99.85 peratus.

BACA JUGA: Peratusan liputan air terawat belum mencapai sasaran