Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pindaan 2022 masih belum dikuatkuasakan

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pindaan 2022 masih belum dikuatkuasakan

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pindaan 2022 masih belum dikuatkuasakan, kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

“Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 [Akta A1648] telah diwartakan pada 16 Mac 2022. Walaupun demikian, tarikh kuatkuasa akta ini dalam proses untuk diwartakan.

Akta tersebut disasarkan untuk dikuatkuasakan pada awal tahun depan.

“Dalam menetapkan tarikh kuatkuasa akta ini, kementerian menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sedang giat melakukan persediaan bagi memastikan kelancaran aktiviti penguatkuasaan berdasarkan peruntukan Akta pindaan ini,” kata beliau dalam jawapan bertulis kepada Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar).

Langkah persediaan yang sedang diambil adalah termasuk:

i) Membuat hebahan awal kepada semua pemegang taruh termasuk majikan, pekerja, pertubuhan bukan kerajaan, pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan;

ii) Menambahbaik infrastruktur penguatkuasaan termasuk naik taraf sistem perkhidmatan atas talian;

iii) Mengemaskini prosedur Sistem Pengurusan Kualiti ISO9001, Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ISO 45001 dan Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO37001;

iv) Membangun dan memantapkan perundangan subsidiari berkaitan;

v) Melaksanakan program latihan, bagi meningkatkan kefahaman pegawai penguatkuasa mengenai Akta pindaan.

Buat masa ini Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967 masih terpakai.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )