Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dipinda, perangi jenayah siber

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dipinda, perangi jenayah siber

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dipinda bagi memastikan undang-undang jenayah siber dan media sosial dapat diperkasakan.

Timbalan Menteri Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching berkata, sudah tiba masanya akta tersebut dikaji semula bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap jenayah siber di media sosial dengan peruntukan undang-undang yang mencukupi.

Beliau berkata, akta tersebut diharap dapat dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

“Sudah sampai masanya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dikaji semula bagi memastikan perundangan yang ada, kini mencukupi untuk mengambil tindakan ke atas jenayah siber.

“Selepas ini, kami (KKD) akan bekerjasama dengan pemegang taruh penyedia perkhidmatan komunikasi,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri tayangan filem Malbatt Misi Barkasa di Kulai, hari ini.

Menurut Teo lagi, teknologi Kecerdasan Buatan (AI) banyak membantu daripada segi pengumpulan data bersepadu dan analisis serta tingkatkan perkhidmatan awam, tetapi terdapat tanda menunjukkan penyalahgunaan teknologi berkenaan.

“Namun dalam masa sama, jika teknologi ini jatuh ke tangan penjenayah mereka akan guna untuk perkara buruk seperti ‘scam’,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai.

Tambah Teo, pihaknya sedia memberikan kerjasama sekiranya diminta memberi ulasan tentang tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu mengkaji undang-undang sedia ada berkaitan jenayah siber dengan memasukkan elemen penipuan melalui perisian dan peranti komputer.

Sabtu lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, ini kerana kesalahan jenayah siber dijangka terus meningkat pada masa akan datang berikutan kepesatan teknologi, terutamanya melalui penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Razarudin menyifatkan, pakar dan saintis AI kini sangat bimbang tentang kapasiti AI yang boleh mengawal sendiri arahan-arahan komputer untuk mengubah sesuatu.

 

COMMENTS

Wordpress (0)