Akta Perkhidmatan Parlimen akan kembali

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul mahu Akta Perkhidmatan Parlimen kembali dikuatkuasakan demi menjamin kebebasan parlimen, lapor The Star hari ini. Perkara ini sudahpun dibawa ke perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim besama saya berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini untuk memberikan taklimat berkenaan Akta Perkhidmatan Parlimen yang kita cadangkan,” kata beliau.

“Kertas cadangan tersebut sudah siap dan akan dibentangkan ke kabinet dalam masa terdekat,” tambahnya.

Akta tersebut mula diperkenalkan pada tahun 1963 membolehkan Parlimen mempunyai kebebasan dalam pentadbiran, kawalan terhadap belanjawan dan penentuan kakitangan.

Ia dimansuhkan pada tahun 1992 oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Sebagai ganti, jawatan menteri hal ehwal parlimen diperkenalkan.

Pentadbiran sebelum ini bersetuju untuk menghidupkan semula akta ini tetapi Dewan Rakyat telah dibubarkan.

Menurut Johari, akta tersebut perlu dikembalikan untuk memastikan Parlimen bebas daripada bada eksekutif.

Akta yang akan diperkenalkan semula ini akan membolehkan Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat memantau keputusan parlimen.

“Kita mempunyai parlimen, tetapi dananya datang dari menteri kewangan manakala Jabatan Perkhidmatan Awam menyediakan kakitangan, Di mana kebebasan yang diperlukan? Kita rasa bahawa kebebasan parlimen perlu berfungsi. Yang pasti, pengasingan kuasa jelas dan bukan hanya tercatat dalam buku teks sekolah,” kata beliau.

Johari turut mendedahkan rancangan meningkatkan peranan Jawatankuasa Khas Parlimen (JKP) untuk membantu Kabinet membuat keputusan dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan umum.

“Buat masa sekarang, menteri Kabinet banyak bergantung kepada pegawai kerajaan dan mereka tiada waktu untuk mengadakan sesi libat urus di setiap peringkat.

Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan menteri dan melengkapi Kabinet,” kata beliau. Beliau menambah bahawa JKP boleh memberikan maklumat tambahan kepada menteri.

Beliau berkata bahawa JKP yang ada sekarang berkuasa untuk memanggil siapa saja dari segenap lapisan masyarakat untuk memberikan pandangan terhadap perkara – perkara berkaitan.

Beliau turut menyatakan bahawa beliau akan menilai komposisi JKP yang ada sekarang untuk memastikan isu seharian yang membebankan rakyat turut diberi perhatian sewajarnya.

“Kita akan kaji semula agar jawatankuasa ini lebih fokus pada topik topik tertentu agar setiap aspek kehidupan kita diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Terdapat 10 JKP termasuk pendidikan, hak asasi dan perundangan, kewangan dan ekonomi, hal ehwal wanita, kanak-kanak dan pembangunan sosial.

Selain itu, JKP sementara turut dibentuk untuk pindaan perlembagaan berkaitan undang-undang anti lompat parti dan undang – undang generasi penamat perokok.

Johari turut mempertimbangkan untuk mewajibkan sesi sidang media untuk setiap JKP seusai menjalankan siasatan sebagai sebahagian daripada amalan yang dijalankan atas nama ketelusan.

“Kita mahu tunjukkan bahawa kita tidak perlu berselindung,” kata beliau.

Nama AJK akan dicadangkan oleh parti masing-masing sebelum Dewan Rakyat bersidang pada 13 Februari.

Jawatankuasa Kira-kira Awam (JKA) baru akan dibentuk pada tarikh sama.

Johari turut memberi jaminan bahawa jawatan ketua JKA akan disandang oleh ahli parlimen pembangkang seperti mana yang dimeterai dalam satu perjanjian yang telah ditandatangani pada tahun 2018.