
Akta Rahsia Rasmi boleh dipinda sebelum bentang Akta Kebebasan Maklumat
Kerajaan tidak menolak kemungkinan Akta Rahsia Rasmi 1972 dipinda terlebih dulu sebelum membentangkan Akta Kebebasan Maklumat bagi membolehkan pemberi maklumat mendapat skop perlindungan yang lebih luas.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata pembentangan Akta Kebebasan Maklumat yang tertangguh dan dijangka dibentangkan pada tahun depan, tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.
Beliau menegaskan keperluan keseimbangan terhadap kedua-dua akta terbabit untuk memberi perlindungan sepenuhnya kepada pemberi maklumat.
“Kita bercakap mengenai Akta Kebebasan Maklumat, perlunya pindaan dilakukan tetapi mungkin tak sempat (dibentang) tahun ini, Insya-Allah pada tahun depan.
“Akta Kebebasan Maklumat ini sangat penting kerana perlu dilihat sekali dengan Akta Rahsia Rasmi 1972. Jadi perlunya satu ‘balancing act’ (keseimbangan akta) yang mana Akta Rahsia Rasmi kemungkinan dipinda supaya Akta Pemberi Maklumat mempunyai skop yang lebih luas.
“Kita tak boleh hanya datang ke Parlimen membuat pindaan sewenang-wenangnya tanpa membuat libat urus bukan saja dengan ahli politik atau wakil di sini iaitu kedua belah blok (kerajaan dan pembangkang), tetapi juga agensi terbabit yang akan melaksanakan perkara ini.
“Kita tidak senyap mengenai hal ini, bahkan kita bercakap sebab kita mempunyai kesedaran perlunya satu perubahan dari segi landskap. Apa guna nak cakap contohnya mempunyai undang-undang begitu ketat kalau Akta Kebebasan Maklumat tidak memberi perlindungan sepenuhnya kepada pemberi maklumat. Siapa nak buat aduan? Ia tidak boleh bergerak bersendirian tanpa mempunyai undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Syahredzan Johan (PH-Bangi) merupakan di antara ahli parlimen yang berbahas isu tersebut.
Beliau berhujah bahawa Akta Rahsia Rasmi akan menjadi penghalang kepada Akta Kebebasan Maklumat.