Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dipinda secara keseluruhan

Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dipinda secara keseluruhan

Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dipinda secara keseluruhan dan bukan terhad kepada seksyen 233, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Seksyen 233 akta tersebut menjenayahkan penyalahgunaan penggunaan internet.

“Kita bukan hanya melihat 233 tapi juga seluruh akta. Ia digubal dalam tahun 1998 sewaktu reformasi. Banyak perkara sudah berubah. Salah satu keutamaan ialah memastikan syarikat penyedia telekomunikasi perlu menyediakan kemudahan internet lebih pantas,” kata Fahmi ketika menjawab soalan tambahan dari Azli Yusof (PH-Shah Alam).

Azli bertanya kesediaan kerajaan untuk meminda seksyen 233 agar ia lebih berkesan.

Terdahulu Fahmi menafikan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysiam(SKMM) digunakan sebagai alat untuk mencengkam kebebasan media dan kebebasan bersuara.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong kebebasan media dan kebebasan bersuara seperti mana yang ada dalam perlembagaan.

Fahmi berkata tiada pihak dibenarkan membuat fitnah atau tohmahan terhadap institusi diraja, komen terhadap agama dan komen perkauman.

“Salah satu tanggungjawab SKMM ialah memastikan tidak ada pelanggaran undang-undang. SKMM berfungsi untuk membuat kawal selia dan bukan menyekat kebebasan,” katanya semasa menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

Pengamal media dan pengguna media perlu merujuk kepada kod kandungan yang boleh diperoleh dari Content Forum memandangkan ada prosedur kawalan kendiri, kata beliau.

Fahmi turut menyatakan bahawa keraja bersetuju dengan penubuhan Majlis Media Malaysia untuk mempertahankan kebebasan media yang juga akan mengamalkan kawalan kendiri.

Ahmad Fadhli kemudian bertanya berkenaan gangguan dari SKMM meskipun kandungan yang dimuatnaik tidak berkaitan dengan isu 3R. Beliau memberi contoh kandungan yang mengaitkan PKR dengan Liberal International.

Turut dibangkitkan ialah isu Harakah.

Jabatan Penerangan telah menarik balik kad perakuan media ekoran penerbitan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlatarbelakangkan bendera Israel.

“Ada kandungan yang boleh diambil tindakan di bawah seksyen 233. Mungkin SKMM menerima aduan. Sesiapa yang terkesan boleh memohon pada SKMM dan platform media sosial dan kandungan tersebut boleh dikembalikan,” katanya.

Fahmi menambah media sosial juga mempunyai piawaian mereka sendiri yang menyebabkan kandungan diturunkan.

“Ada video Himpunan Malaysia bersama Palestin yang diturunkan. TikTok berkata ada grafik berdarak. Bila rujuk balik, ia dinaikkan semula.”

Berhubung isu Harakah pula, Fahmi menyatakan bahawa kerajaan ingin menegaskan etika kewartawanan perlu diikuti.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )