Alami masalah paru-paru dan jantung, UAI masuk hospital

Penceramah Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjalani rawatan di hospital dipercayai kerana masalah kesihatan membabitkan paru-paru dan jantung.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan hal tersebut menerusi hantaran di Facebook semalam.

Menurut Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, penceramah berkenaan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada 14 Mac lalu kerana mengadu kurang sihat.

Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu itu berkata, keadaan kesihatan Azhar bagaimanapun semakin bertambah baik dan sempat bergurau senda dengannya sambil menceritakan penyakit yang dialami.

Sementara itu, hantaran di Facebook Ustaz Azhar Idrus memberitahu kuliah Maghrib menjelang Ramadan yang sepatutnya berlangsung Masjid Kampung Bukit Tadok, Kuala Telemong, Terengganu kelmarin ditangguhkan pada waktu lain.

“Ditangguhkan atas sebab kesihatan, doakan kesembuhan buat Murabbi Ustaz Azhar Idrus,” kata hantaran di media sosial itu.

UAI, 59, dikenali sebagai penceramah yang menghiburkan pendengar apabila menjawab soalan mengenai agama secara berjenaka dalam loghat Terengganu.

Suami kepada tiga isteri itu yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Pas tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama Islam di Selangor.

BACA JUGA Exco Terengganu dikenakan waran tangkap, gagal hadir mahkamah