
Alkisah Hadi dan cabaran pada Islam, mahkamah syariah
Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) semasa berdebat berkenaan Belanjawan 2024 telah mendakwa ada pihak yang dianggapnya mencabar undang-undang Islam lantas meletakkan negara katanya dalam keadaan dilanda “kemungkaran sangat dahsyat”.
“Sekarang ini pandai-pandai cabar Islam, cabar mahkamah syariah. Ini satu kerja orang Islam tidak boleh biarkan sama sekali,” kata Hadi semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Parlimen 20 Okt lalu.
Menurutnya Perikatan Nasional berpendirian bahawa hukum Islam mempunyai imuniti dan tidak boleh dicabar sama seperti institusi diraja.
Siapa yang dimaksudkan olehnya langsung tidak disebut. Perkara tersebut kekal samar bagaikan jerebu yang dialami kita saban tahun.
Apakah beliau merujuk kepada kes yang difailkan oleh Loh Siew Hong? Kes tersebut di mahkamah dan Hadi bukan sebahagian daripada sistem kehakiman.
Sekiranya beliau mengulas kes itu di luar Dewan Rakyat, ia bersamaan dengan penghinaan mahkamah.
Kemungkinan dua kes mahkamah
Apakah Hadi merujuk kepada kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasya Tengku Abdul Rahman lawan kerajaan Kelantan?
Kes yang difailkan itu mencabar kesahihan dan keperlembagaan enakmen syariah yang diluluskan oleh DUN Kelantan.
Ia melibatkan 20 peruntukan undang-undang di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019.
Laporan media terakhir berkenaan kes tersebut melaporkan cadangan Pemuda Pas Kelantan agar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turut sama mencelah dalam kes ini.
Sudah terang lagi bersuluh Nik Elin dan Tengku Yasmin tidak mencabar Islam atau mahkamah syariah.
Berbalik kepada Hadi, apa sebenarnya sumbangan beliau ke arah memperkukuhkan mahkamah syariah?
Para penyokongnya akan memberitahu kita bahawa beliau telah mengusahakan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sewaktu pentadbiran perdana menteri terdahulu, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau hanya membentangkan usul persendirian ke atas akta tersebut yang juga dikenali sebagai Akta 355.
Untuk rekod, Akta 355 menghadkan hukuman yang boleh diberikan oleh mahkamah syariah kepada hukuman penjara tiga tahun, denda RM5000 dan rotan enam kali.
Pas ketika itu hanya mahu meningkatkan hukuman sahaja, bukannya menambah baik sistem kehakiman syariah atau mempertahankan Islam.
Hadi juga tidak membuat apa – apa terhadap akta ini ketika parti beliau bersama-sama membentuk kerajaan pusat.
Bila mana Akta 355 yang mengawal enakmen syariah negeri digubal di Dewan Rakyat, bagaimana pula enakmen negeri yang digubal di DUN menjadi kebal dan tidak boleh dicabar?
Ini hanya hujahan yang memesongkan kefahaman rakyat terhadap undang-undang.
Berbanding dengan Pas, AMANAH telah memberi cadangan yang lebih baik untuk memperkukuhkan sistem kehakiman syariah.
Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara ini akan diangkat menerusi dua undang-undang.