Amalan pemberian tender lebih telus antara langkah kekang kes Pandora Papers

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumlan bahawa amalan pemberian tender yang lebih telus merupakan antara langkah yang diambil di peringkat Kementerian Kewangan untuk mengekang kes – kes berkaitan dengan Pandora Papers.

Beliau menyatakan bahawa sebilangan nama yang disenaraikan di dalam Pandora Papers telahpun dipanggil untuk disoal siasat terutamanya berkaitan bank-bank yang ditubuhkan.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada SPRM, PDRM, LHDN Labuan FSA dan NFCC. Ada yang sudah dipanggil SPRM dan LHDN tentang bank yang ditubuhkan.

“Untuk mengekang perkara ini berulang, kita pastikan di Kementerian Kewangan, pemberian tender lebih telus,” kata beliau ketika menjawab soalan Noraini Ahmad (Parit Sulong-BN) ketika sesi soalan perdana menteri pagi ini di Dewan Rakyat.

“Kita boleh menawarkan tender terhad tetapi apa yang berlaku songlap wang di atas nama bumiputera. Kita tak boleh guna bumiputera untuk kutip wang demi parti,” tambah beliau.

Beliau tidak menamakan parti tersebut tetapi laporan media menunjukkan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terpalit dengan kes ini.

Dalam bulan Oktober 2021 Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ yang terdiri daripada 600 wartawan telah membocorkan 11.9 juta dokumen dan rekod dari 12 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang mengurus syarikat cangkerang di seluruh dunia.

Dokumen yang didedahkan ini dikenali sebagai Pandora Papers.

Lebih kurang 10 orang rakyat Malaysia yang kaya raya turut dinamakan di dalam dokumen tersebut.

Pada minggu lepas, seorang mantan menteri kewangan era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berusia 84 tahun telah dilaporkan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menjawab soalan tambahan dari Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian-PN) berkaitan dana politik dari luar negara, Anwar berkata bahawa dana politik dari luar tidak terkecuali dari siasatan.

Beliau bagaimanapun berkata bahawa beliau tidak boleh mendedahkan maklumat tersebut sebelum pendakwaan.