
AMANAH bertemu Duta Turkiye, Syria zahirkan dukacita tragedi gempa bumi
AMANAH mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Kedutaan Turkiye dan Syria bagi menunjukkan solidariti serta dukacita dengan tragedi gempa bumi yang melanda dua negara itu pada beberapa hari lalu.
Kunjungan yang diketuai Timbalan Presiden, Datuk Seri Salahuddin Ayub bertemu Duta Turkiye ke Kuala Lumpur, Emir Salim Yuksel yang berlangsung di pejabat kedutaan Turkiye.
Dalam pertemuan itu, Tamim berkongsi perkembangan terkini yang melanda Turkiye yang dianggap sebagai suatu tragedi terburuk dalam sejarah negara itu.

Salahuddin dan rombongan AMANAH menyampaikan nota simpati kepada Duta Turkiye di Kuala Lumpur, Emir Salim Yuksel.
Beliau mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan respon pantas Malaysia dengan memberikan sumbangan kewangan dan bantuan pasukan penyelamat ke Turkiye.
“Kami berterima kasih atas bantuan yang diberikan. Kami percaya hubungan Malaysia-Turkiye akan lebih kukuh dan merangkumi lebih banyak perkara termasuklah berkongsi kepakaran dalam misi bantuan kemanusiaan.
“Namun begitu, untuk sementara waktu, sebarang bantuan kemanusiaan perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa di Turkiye bagi mengelakkan sebarang masalah,” ujarnya.
Turut hadir, Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli; Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Hasbie Muda; Ketua WARDA Nasional, Nurthaqaffah Nordin; ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional, Dr Ahmad Termizi Ramli serta pimpinan sayap nasional.
Dalam pertemuan ke pejabat Duta Syria ke Malaysia, Tamim Madani di Jalan U-Thant, kesedihan yang sama turut dizahirkan oleh Salahuddin yang juga ahli Parlimen Pulai.
Tamim memaklumkan situasi Syria lebih sukar ekoran tragedi yang berlaku telah melanda di Aleppo iaitu kawasan yang menjadi medan pertempuran antara kumpulan pemberontak dan tentera kerajaan.
Lokasi kejadian turut berhadapan musim sejuk melampau, wabak kolera dan dilaporkan ramai mangsa terperangkap dalam runtuhan bangunan sekaligus menyukarkan misi bantuan ke sana.
Dalam perkembangan terkini, dilaporkan lebih 15,000 nyawa terkorban manakala puluhan ribu lagi cedera susulan gempa bumi dengan magnitud 7.8 melanda Turkiye dan Syria pada awal minggu ini.
Pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan tentang situasi di Syria yang mana terdapat lebih empat juta penduduk yang bergantung kepada bantuan kemanusiaan berdepan risiko akibat gempa bumi.
BACA JUGA Pasukan SMART ke ground zero gempa bumi di Selatan Turkiye hari ini
JUGA Puluhan mangsa terkorban, gempa bumi 7.8 magnitud di selatan Turkiye dan Syria