
AMANAH di persada, lapan tahun menempuh badai
Oleh SENATOR DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA
Badai melanda perkara yang telah diduga bagi bahtera yang berlayar, pepatah Arab menyebut “…badai tiba dari arah yang tidak diingini bahtera..” (..تأتى الرياح بما لا تشتهى السفن) .
Ianya gambaran apa yang kita inginkan sesekali diuji kerana destinasi kita pengkalannya jauh. Kita diuji dengan kuasa, kedudukan, kelemahan organisasi, kepimpinan, ragam ahli dan fitnah pesaing yang tak kunjung padam.
Walaupun demikian bahtera perjuangan perlu terus belayar sampai ke destinasinya dengan aman dan selamat. Pada 16 September 2015, Parti Amanah Negara diasaskan, tarikh 16 September dipilih supaya ahli AMANAH sentiasa ingat AMANAH adalah untuk MALAYSIA.
Lapan tahun AMANAH menempuh pelbagai liku perjuangan bermula dari gelaran parti serpihan hingga kepada parti khadam, semuanya dilalui dengan tabah dan tenang.
AMANAH diberi peluang memerintah dengan menjadi parti komponen dalam PH 2018-2020, dan kini pasca PRU ke 15.
Kedudukan AMANAH dicemburui ‘parti lama’ kerana dalam masa 3 tahun terasasnya parti serpihan ini pimpinannya telah menganggotai portfolio dalam Kabinet dan Exco beberapa kerajaan negeri.
Sebelumnya, pimpinan parti ‘lama’ menyindir dengan sinis ‘parti nyamuk’ ini tak akan bertahan, paling lama pun 6 bulan!
Gagasan besar parti AMANAH kini meniti di bibir rakyat Malaysia. Mula diperkenalkan pada tahun 2019 oleh Menteri Agama ketika itu dengan dasar Gagasan Negara RAHMAH, ia diperkukuhkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub melalui produk RAHMAH bagi meringankan kos kehidupan rakyat.
PMX dalam kerangka dasar MADANI hari ini tidak lekang di bibir menyebut RAHMAH sebagai nilai besar yang mengiringi konsep Malaysia Madani.
Alhamdulillah, RAHMAH dan AMANAH tidak dapat dipisahkan, ia memberi semacam rasa bangga kepada ahli AMANAH setiap kali RAHMAH disebut-sebut oleh orang ramai.
Semangat RAHMAH terinspirasi dari firman Allah dalam Al Anbiya 107, ” و ما ارسلناك الا رحمة للعالمين” ” Tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk membawa RAHMAH ke seluruh alam”.
AMANAH membawa mesej Islam berpandukan Rahmatan Lil Alamin dalam tindak tanduk politiknya sesuai dengan pemikiran Siyasah Syariyah yang menjadi pedoman AMANAH.
Aset AMANAH tidak ternilai dan dalam apa jua bentuk badai yang melanda, kita perlu menjaganya, membelainya dan mengembangkannya.
Apakah aset kita? Aset kita tiga perkara, pertama, DASAR Rahmatan Lil Alamin (RLA), AHLI AMANAH dan KEPIMPINAN PARTI.
Jangan sia-siakan tiga aset ini di mana sahaja kita berada dan apa sahaja situasi kita. Tiga aset ini faktor kesatuan AMANAH dan sumber kekuatan kita.
Segala kelemahan dalaman dan tersasarnya strategi luaran AMANAH boleh ditangani dengan kita komited memelihara aset besar kita yang menjadi faktor pemangkin kepada kejayaan AMANAH. Cukuplah firman Allah ini menjelaskan 3 aset penting sesebuah perjuangan.
{ وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِینَ یَدۡعُونَ رَبَّهُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِیِّ یُرِیدُونَ وَجۡهَهُۥۖ وَلَا تَعۡدُ عَیۡنَاكَ عَنۡهُمۡ تُرِیدُ زِینَةَ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَاۖ وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُۥ فُرُطࣰا }
[Surah Al-Kahf: 28]
“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”