AMANAH Kedah sasar menang sembilan kerusi PRN

AMANAH Kedah mensasarkan pertambahan lima lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dimenangi disamping mengekalkan kemenangan empat kerusi sedia ada.

Pengerusi AMANAH negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, sasaran kemenangan lima lagi kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini boleh dicapai dan segala persiapan sedang dilaksanakan bagi merealisasikan aspirasi tersebut.

“Program pemukiman AMANAH negeri Kedah di Kampung Acheh, Yan yang melibatkan pimpinan utama AMANAH dari seluruh kawasan dengan objektif utamanya ialah untuk mempersiapkan hala tuju jentera parti.

“Semua yang hadir bersemangat dan lebih yakin bagi menghadapi pihak lawan menjelang PRN kali ini dengan pelbagai rumusan dan idea yang diperhalusi agar ianya menjadi realiti dengan kemenangan yang disasarkan.

“Menjelang PRN kali ini, AMANAH mensasarkan kemenangan lima lagi kerusi disamping mempertahankan kemenangan kerusi sedia ada di Kubang Rotan, Pengkalan Kundor, Kota Siputeh dan Alor Mengkudu,” ujarnya yang juga merupakan Adun Pengkalan Kundor.