AMANAH Negeri Sembilan terbuka terima agihan kerusi PRN

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan bersedia menerima sebarang keputusan pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusinya, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, demi perpaduan yang terjalin ketika ini, parti politik perlu memahami mengenai pembahagian kerusi pada PRN.

“Demi perpaduan dan keadaan politik sekarang, kita perlu mengekalkan apa yang kita faham iaitu parti masing-masing ‘bertahan’ di tempat mereka sebelum ini.

“Di konvensyen Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri baru-baru ini, Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri juga bercakap perkara yang sama, iaitu kita akan bertanding di kerusi yang dimenangi.

“Maknanya AMANAH di tiga kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) di enam kerusi, manakala DAP di 11 kerusi. Kita tidak akan bertanding sesama kita,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Beliau mengulas demikian apabila ditanya mengenai ‘bayangan’ pembahagian kerusi menjelang PRN khususnya bagi AMANAH.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli AMANAH negeri agar mengikuti keputusan yang telah dibuat oleh sekretariat.

“Kita hanya melaksana dan memantapkan apa yang diputuskan oleh sekretariat dan pada masa sama kita juga bekerja ke arah itu (keputusan yang dibuat).

“Saya mengingatkan mereka mengenai perkara itu dalam ucapan penggulungan ketika retreat AMANAH negeri yang diadakan di Port Dickson, Jumaat minggu lalu,” ujarnya lagi.

Buat masa ini, PH menguasai 20 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai 16 kerusi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sementara itu, pada PRU15 tahun lalu, BN menang lima kerusi Parlimen di Negeri Sembilan berbanding tiga kerusi dimiliki PH iaitu Seremban, Rasah dan Port Dickson.