
AMANAH terus komited lebarkan pengaruh, konsep Rahmah di Johor
Pemuda AMANAH Johor akan terus komited untuk melebarkan pengaruh parti tersebut terutamanya dalam pembawakan konsep Rahmah di negeri berkenaan.
Exco Pemuda AMANAH negeri, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, beliau yakin konsep Rahmah yang dipelopori Almarhum Datuk Seri Salahuddin Ayub, disenangi dan diterima baik Bangsa Johor tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit termasuk Orang Asli.
“Berbekalkan motivasi daripada sokongan dan dokongan jelas yang ditunjukkan dalam kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) ini, saya yakin melalui Pemuda AMANAH Johor, kami akan terus komited untuk menanam dan melebar luaskan pengaruh AMANAH terutama konsep Rahmah di Johor ini.
“Ini satu isyarat jelas bahawa Bangsa Johor sememangnya menolak sebarang bentuk usaha perpecahan dan sentimen perkauman yang sering dimainkan oleh pihak lawan iaitu Perikatan Nasional (PN).
“Ia termasuk tindakan menunggang agama sehingga dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa yang menyesatkan.
“Saya mengucapkan sekalung penghargaan khususnya kepada pengundi-pengundi di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang telah jelas memilih Perpaduan dan Rahmah untuk terus menerajui kedua-dua kerusi tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan penguasaan di Parlimen Pulai apabila calonnya daripada AMANAH, Suhaizan Kaiat, menang di kerusi berkenaan dengan majoriti 18,641.
Suhaizan yang juga bekas Speaker DUN Johor meraih 48,283 undi menewaskan Zulkifli Jaafar daripada PN dengan 29,642 undi, manakala Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas pula, meraih 528.
Satu lagi kemenangan dilakar PH apabila berjaya mengekalkan kerusi DUN Simpang Jeram dengan menewaskan PN dengan majoriti 3,514 undi.
Ir Ts Nazri Abdul Rahman juga daripada AMANAH meraih 13,844 undi menewaskan pakar bedah, Dr Mohd Mazri Yahya (PN) yang mendapat 10,330 undi, manakala S Jegananthan mewakili Bebas hanya meraih 311 undi.
PRK di kedua-dua kawasan itu diadakan serentak berikutan penyandang kedua-dua kerusi terbabit, Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), meninggal dunia pada 23 Julai lalu.