Ambil saguhati ketika isu air tak selesai, ini masalah moral – penganalisis
Pembayaran saguhati Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM10,000 oleh syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) kepada sembilan ahli lembaga pengarahnya, dianggap sebagai tidak bertanggungjawab dan berkait dengan masalah “moral”.
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, mereka tidak sepatutnya diberikan bonus sebegitu besar, mengambil kira prestasi perkhidmatan yang tidak memuaskan dalam menyelesaikan isu air di Kelantan.
Bahkan katanya, jika mereka ada rasa tanggungjawab, gaji juga sepatutnya dipertimbang untuk dipotong sehingga isu air di negeri Pantai Timur itu dapat diselesaikan.
“Inilah masalah syarikat. Isu rakyat tak selesai, rakyat berdepan dengan masalah air, kemudian mutu perkhidmatan pun tak bagus sampai keluar air karat, tapi diberi bonus.
“Bonus ini diberi bila prestasi tinggi, perkhidmatan baik dan syarikat dapat untung. Kalau syarikat rugi, kemudian dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pun dilapor ada hutang elektrik tertunggak, maksudnya pentadbiran kewangan syarikat ini nampak tak lestarilah.
“Dalam situasi ini, kalau mereka rasa bertanggungjawab, sepatutnya bukan setakat bonus, gaji pun patut dipotong sikit. Tak bertanggungjawab bila ambil bonus dalam keadaan ini,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Terdahulu, kakitangan AKSB terutama ahli lembaga pengarahnya dipercayai menerima sagu hati berjumlah RM10,000 sehingga membangkitkan kemarahan rakyat Kelantan.
Tambah lagi apabila Dewan Pemuda Pas Kelantan mempertahan tindakan itu dan menyifatkan pemberian saguhati adalah setimpal dengan kerja yang dilakukan, selain mengatakan ia sebagai menghargai kerja-kerja ‘memerah minda’ dalam memberi pandangan dan keputusan-keputusan dasar kepada AKSB.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob juga pada semalam tampil mempertahan pemberian bonus itu, mendakwa setiap syarikat GLC berhak memberikan bonus.
Meskipun dari sudut undang-undang ia bukanlah satu kesalahan, namun Mazlan percaya, ia terkait dengan soal “moral”.
“Maksudnya mereka patut ambil sikap tanggungjawablah, potong gaji. (Perlu ada) kesedaran utamakan rakyat. Kalau AKSB ini buat inisiatif potong gaji untuk menjimatkan wang bagi kerja-kerja penyelenggaraan paip, itu dilihat lebih baik.
“Mungkin rakyat akan pujilah. Tapi bila diberi bonus sebanyak itu, orang akan melihat benda tu tak wajar,” katanya.
Sementara itu mengulas dalam konteks PRN, Mazlan percaya isu ini mampu memberi kesan kepada imej Perikatan Nasional, namun berpandangan kesan itu tidak membawa kepada kejatuhan kerajaan.
Beliau menyifatkan rakyat Kelantan sebagai “tahan lasak” kerana biarpun apa isu berbangkit, sukar untuk mereka tidak menyokong parti Islam yang bertapak lebih tiga dekad di sana.
Ini disebabkan faktor pengundi luar yang tidak menetap di Kelantan, tetapi apabila pulang ke negeri mereka, mereka mengundi Pas.
“Orang-orang Kelantan ini, dia tahan lasak. Isu air ke apa tetap sokong Pas. Isu sekarang ini yang banyak menyokong Pas ialah orang luar, pengundi luar.
“Orang tempatan yang terkesan dengan isu ini mungkin tak sokong kerajaan, tapi tak cukup setakat mereka sahaja sebab rakyat Kelantan yang lain masih suka kerajaan Kelantan. Pengundi-pengundi luar pun sama, sokong juga.
“Jadi pada saya isu ini dia tidak akan menjatuhkan kerajaan tapi tetap akan memberi kesan. Mungkin ada peningkatan sokongan kepada parti pembangkang di Kelantan sebab rakyat mahu perubahan, tapi keseluruhannya Kelantan masih kubu Pas lah,” ujarnya.
Baca juga:
Â